LEE Byung-Kee. FOTO EPA-EFE
LEE Byung-Kee. FOTO EPA-EFE

Seoul: Dua bekas ketua agensi perisikan Korea Selatan ditangkap semalam kerana disyaki membayar jutaan dolar sebagai rasuah kepada pembantu bekas presiden Park Geun-Hye.

Nam Jae-Joon dan Lee Byung-Kee - kedua-duanya bekas ketua Perkhidmatan Perisikan Kebangsaan (NIS) - didakwa menyerahkan sekurang-kurangnya 4 bilion won (RM15.1 juta) daripada belanjawan agensi mereka kepada pembantu Park setiap bulan.

Habuan itu didakwa sebagai pertukaran untuk mengembangkan kerjaya mereka.

Mahkamah Daerah Tengah Seoul meluluskan waran tangkap kedua-duanya bagi mengelak mereka melarikan ke luar negara dan memusnahkan bukti.

Park kini berada dalam tahanan sementara dibicarakan kerana rasuah.

Nam dan Lee, yang berkhidmat di bawah pentadbiran Park antara 2013 hingga 2015, berdepan pelbagai tuduhan termasuk penyelewengan, rasuah dan menyebabkan kerugian dana negara.

Kedua-duanya dilaporkan mengaku kepada pendakwa raya bahawa mereka memberikan ‘bayaran bulanan’ kepada pejabat Park atas permintaan peribadi pembantu utamanya.

Dua bekas pembantu Park ditahan awal bulan ini kerana disyaki mengambil wang daripada NIS dan mendakwa mereka melakukan sedemikian atas arahan presiden. - AFP

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 18 November 2017 @ 1:36 AM