Lee Jae-Yong (tengah) ketika meninggalkan mahkamah semalam, manakala gambar kanan, kereta membawanya memasuki Pusat Tahanan Seoul awal pagi ini.
Lee Jae-Yong (tengah) ketika meninggalkan mahkamah semalam, manakala gambar kanan, kereta membawanya memasuki Pusat Tahanan Seoul awal pagi ini.
Reuters

Seoul: Naib Pengerusi Samsung Electronics Co Ltd, Lee Jae-yong, ditahan hari ini, berhubung siasatan skandal rasuah yang membawa kepada Parlimen Korea Selatan mendakwa presiden negara itu, Park Geun-hye.

Jae-yong, 48, dibawa ke Pusat Tahanan Seoul selepas memberi keterangan di mahkamah semalam, dan hakim mengumumkan penahanannya kira-kira 5:30 pagi (4.30 pagi hari ini waktu Malaysia), lebih 10 jam selepas beliau meninggalkan mahkamah.

Selasa lalu, pasukan pendakwa memohon waran untuk menahan beliau dan Presiden Samsung Electronics, Park Sang-jin, bagi dakwaan rasuah dan serta tuduhan lain.

Mahkamah bagaimanapun, menolak permohonan untuk menahan Sang-jin yang juga Presiden Persekutuan Equestrian Korea.

Jae-yong ialah anak Pengerusi Kumpulan Samsung, Lee Kun-Hee.

Pendakwa sedang mengumpul bukti bagi membina kes terhadap Presiden Geun-hye dan rakan rapatnya, Choi Soon-sil, yang ditahan kerana tuduhan salah guna kuasa dan cubaan menipu.

Kedua-dua mereka menafikan melakukan sebarang kesalahan.

Pasukan pendakwa memfokuskan siasatan terhadap hubungan Samsung dengan Park, 65, yang didakwa Parlimen Disember lalu, menyebabkan beliau dilucutkan kuasa menunggu siasatan selesai.

Samsung didakwa memberi rasuah berjumlah 43 billion won (RM168 juta) kepada pertubuhan yang dikaitkan dengan Choi bagi mendapatkan sokongan kerajaan untuk penggabungan dua syarikat Samsung.

Ia termasuk tajaan Samsung bagi aktiviti berkuda anak perempuan Choi, yang kini berada di Denmark dan dikehendaki Korea Selatan.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 17 Februari 2017 @ 8:43 AM