OMAR (kanan) bersama warga Britain, Ibrahim al-Mazwagi (tengah).
OMAR (kanan) bersama warga Britain, Ibrahim al-Mazwagi (tengah).

Baghdad: Seorang pegawai perisikan kanan Iraq dan ketua aktivis Syria semalam berkata, pemimpin kanan kumpulan pengganas Daish, Omar al-Shishani mati di luar kubu kuat kumpulan berkenaan di Raqqa, Syria.

Pegawai berkenaaan dan Rami Abdurrahman, ketua Pemerhati Bagi Hak Asasi Syria berkata, Omar mati kelmarin akibat kecederaan yang dialami dalam serangan udara Amerika Syarikat, minggu lalu.

Lelaki etnik Chechnya itu antara komander Daish paling terkenal dan menjadi panglima tentera kumpulan berkenaan di Syria.

Menurut Rami, Daish membawa beberapa doktor untuk merawat Omar, tetapi mereka gagal menyelamatkannya.

Bagaimanapun, sebuah agensi berita yang menyokong Daish menafikan Omar terbunuh atau cedera.

Agensi berita Amaq memetik satu sumber sebagai berkata, Omar yang digelar ‘Menteri Perang Daish’ tidak mengalami sebarang kecederaan.

Daish sehingga ini masih belum mengeluarkan kenyataan rasmi mengenai Omar. - Agensi

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 16 Mac 2016 @ 8:00 AM