SEKUMPULAN wanita Muslim turut menyalakan lilin di tengah Manchester sebagai mengenang mangsa yang terkorban dalam serangan kejam kelmarin.  - Reuters
SEKUMPULAN wanita Muslim turut menyalakan lilin di tengah Manchester sebagai mengenang mangsa yang terkorban dalam serangan kejam kelmarin. - Reuters

Beirut: Tentera Syria semalam berkata, ia membunuh ‘Menteri Perang’ Daish dan beberapa tokoh kumpulan berkenaan yang beroperasi di timur bandar Aleppo di utara negara itu.

Sumber tentera Syria yang dipetik media tempatan mengenal pasti Menteri Perang berkenaan sebagai Abu Musab al-Masri.

Ia bagaimanapun tidak menyebut secara tepat bila atau di mana dia terbunuh.

Menurut sumber berkenaan, beberapa orang yang terbunuh di samping Abu Musab ialah warga Arab Saudi dan Iraq.

Menteri Perang Daish sebelum ini, Abu Omar al-Shishani terbunuh tahun lalu.

Amerika Syarikat berkata, Abu Omar mungkin terbunuh dalam serangan udara di Syria.

Kumpulan militan itu mengesahkan kematiannya Julai lalu tetapi berkata, dia mati dalam pertempuran di bandar Shirqat, selatan Mosul, Iraq.

Daish berdepan kempen serangan berasingan di utara Syria oleh tentera yang setia kepada rejim Presiden Bashar al-Assad, Pasukan Demokratik Syria yang disokong Amerika Syarikat dan Tentera Pembebasan Syria, penentang Bashar yang disokong Turki. -Agensi

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 25 Mei 2017 @ 11:26 AM