Pemenang kempen Impian Tunai 8 Kembali Lagi bersama replika cek mereka.
Pemenang kempen Impian Tunai 8 Kembali Lagi bersama replika cek mereka.
myMetro

Kuala Lumpur: Bank Simpanan Nasional (BSN) menyasarkan pengeluaran 30,000 kad baru bagi 1Teachers Card menjelang hujung tahun ini dan yakin mencapai jumlah terbabit berdasarkan tawaran kad itu yang memiliki kadar keuntungan rendah iaitu 8.8 peratus.

Naib Presiden/Ketua Jabatan Perniagaan Kad, Mohd Sofian Amirudin berkata, kadar tahunan itu adalah lebih rendah berbanding 17.5 hingga 18 peratus yang dikenakan oleh kebanyakan pemain dalam industri perbankan di negara ini.

“Kad ini adalah salah satu platform terbaik kami untuk mengukuhkan penjenamaan kad kredit BSN dan kami akan terus mempromosikan ia kepada pasaran relevan di seluruh negara,” katanya pada majlis penyampaian hadiah kempen Impian Tunai 8 Kembali Lagi di sini, semalam.

Pada majlis itu menyaksikan sembilan individu diraikan dengan pemenang hadiah utama memenangi wang tunai bernilai RM88,888 manakala lapan individu yang juga pemenang bulanan membolot hadiah berupa wang tunai sebanyak RM8,888.

Beliau berkata, kempen itu adalah langkah BSN untuk mempromosikan manfaat dan tawaran eksklusif 1Teachers Card kepada komuniti di bawah Kementerian Pendidikan terutama dalam kalangan guru di seluruh negara.

“1Teachers Card adalah kemudahan ditawarkan melalui kerjasama BSN serta Yayasan Guru Malaysia Berhad (YGMB) dan ia memiliki keahlian seramai 80,000 sejak diperkenalkan tiga tahun lalu,” katanya.

Dalam perkembangan lain, BSN menyasarkan peningkatan 20 hingga 30 peratus bagi pemegang baru kad kreditnya kepada 72,000 pada tahun ini berbanding 60,000 tahun lalu.

Mohd Sofian berkata, pengenalan beberapa kad kredit baru tahun ini dan corak perbelanjaan pelanggan yang dijangka terus berkembang kepada 30 hingga 40 peratus akan membantu BSN dalam mencapai peningkatan terbabit.

“Kami akan terus menarik pelanggan daripada industri pendidikan dan penjawat awam melalui kadar tahunan menarik berbanding kadar industri dengan guru adalah pasaran utama bagi BSN,” katanya.

Sehingga kini, asas pelanggan BSN bagi kad kredit adalah sebanyak 200,000 dengan nilai perbelanjaan bulanan RM60 juta.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 15 Mac 2016 @ 6:50 AM