Kuala Lumpur: Bank Simpanan Nasional (BSN) melancarkan kempen eksklusif Impian Tunai 8 Kini Kembali untuk ahli kad kredit/-i 1TeachersCard bersempena sambutan Festival Hari Guru 2015 bertujuan menghargai sumbangan dan pengorbanan yang dicurahkan oleh guru kepada anak bangsa.

Kempen kali ketiga itu akan berlangsung bermula dari 14 Mei hingga 14 September 2015 dan menawarkan kadar istimewa 8.88 peratus kepada pemegang kad.

Naib Presiden dan Ketua Bahagian Perniagaan Kad, Mohd Sofian Amirudin berkata, dengan kadar yang rendah dan istimewa itu, komuniti guru dapat menggunakan kad kredit secara berhemah sambil menikmati penjimatan ke atas bayaran kadar faedah berbanding kad kredit yang lain.

Menurutnya, hasil kerjasama strategik bersama Yayasan Guru Malaysia Berhad (YGMB), ia sejajar dengan peranan BSN yang komited untuk memberi perkhidmatan yang terbaik dengan menyediakan produk inovatif dan dinamik kepada segenap lapisan masyarakat.

Menerusi kempen terbabit, pemegang kad hanya perlu berbelanja minimum RM88 dengan Kad Kredit/-i 1TeachersCard untuk layak menyertai kempen dan berpeluang memenangi hadiah bernilai antara RM800 hingga RM88,888.

Selain itu, BSN turut menawarkan ganjaran dan keistimewaan seperti tiada yuran tahunan seumur hidup, Kad BSN Zing PLUSMiles percuma, Pelan Pindahan Baki 0 peratus, perlindungan insurans perjalanan percuma sehingga RM500,000 serta program keistimewaan merchant.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 3 Jun 2015 @ 6:34 AM