ONE Direction
ONE Direction
JENNIFER Hudson
JENNIFER Hudson
SUSAN Boyle
SUSAN Boyle
ADAM Lambert
ADAM Lambert
KELLY Clarkson
KELLY Clarkson
Oleh Georgie Joseph

Sebelum ini, edisi syok Sabtu RAP pernah memaparkan mengenai bintang atau juara program realiti nyanyian tempatan yang menghilang. Jelas, penyertaan dalam program sebegitu bukan jaminan untuk terus bertahan dalam industri.

Kali ini, kita intai pula bintang realiti di Barat yang sebenarnya turut mengalami nasib sama dan hampir semuanya hilang entah ke mana selepas berakhirnya program disertai mereka.

Mungkin ada yang masih aktif namun sangat jarang mendapat liputan daripada media ataupun lesap terus. Hakikatnya, terlalu banyak nama untuk dibentangkan apabila merungkai isu berkenaan dan apa agaknya nasib mereka sekarang.

Bagaimanapun, bukan semua kerana ternyata masih ada yang terus menguatkan empayar mereka sebagai penyanyi bahkan terus-menerus meraih pengikut. Sama ada strategi pemasaran yang membantu atau bakat mereka terlalu rugi jika disia-siakan, bintang terbabit masih mendapat tempat di hati peminat.

Jika diimbas, program realiti American Idol di Amerika Syarikat (AS) menjadi pelopor kepada tercetusnya fenomena pencarian bakat menerusi platform rancangan sebegitu.

Selepas rancangan itu, barulah hadir program lain seperti X-Factor, The Voice, America's Got Talent, Britain's Got Talent dan banyak lagi. Mujur, ramai juga yang bertahan sehingga sekarang dan sekurang-kurangnya platform itu benar-benar membantu kelangsungan karier mereka.

-Kelly Clarkson

Menjadi juara sulung American Idol, Kelly Clarkson, 32, adalah contoh terbaik bintang realiti yang masih bertahan dan menjadi ikutan sehingga kini. Memenangi program musim pertama itu pada 2002, dia terus melakar kejayaan demi kejayaan berdasarkan kehebatan vokalnya.

Begitu juga dengan transformasi dirinya yang menjadi perdebatan kerana berat badannya naik mendadak. Bagaimanapun, ternyata penyanyi itu lebih dihormati berikutan kehebatannya dalam nyanyian itu sendiri.

Biarpun dengan pasaran muzik silih berganti, dia tetap sentiasa hadir dengan lagu yang masih relevan. Sambutan terhadap lagunya juga nyata tidak mengecewakan meskipun kini dia semakin kurang tampil dengan material baru.

-One Direction

Memenangi trofi utama Artis Terbaik Tahun Ini di Anugerah Muzik Amerika (AMAs) 2014 baru-baru ini, boyband kelahiran United Kingdom (UK) ini mempunyai jutaan peminat di seluruh dunia.

Dianggotai Niall Horan, Zayn Malik, Liam Payne, Harry Styles, dan Louis Tomlinson, boyband yang dibentuk secara tidak sengaja ini sebenarnya bukanlah juara kepada program X-Factor UK yang mereka sertai pada 2010.

Bagaimanapun, ternyata keputusan menggabungkan mereka secara kumpulan jelas percaturan tepat di mana sehingga kini, One Direction menjadi boyband paling berkuasa di dunia. Tidak dinafikan, aura serta ketampanan anggotanya di samping bakat nyanyian benar-benar menjadi kekuatan mereka.

-Jenniffer Hudson

Penyanyi serta pelakon ini pula antara peserta program realiti yang tidak pernah dijangka mampu meledak dalam industri. Jeniffer Hudson, 33, pernah disifatkan juri American Idol musim tiga, Simon Cowell sebagai tiada aura bintang.

Mana tidaknya ketika itu penampilannya tidak begitu meyakinkan kerana berat badannya sedangkan nyanyiannya antara yang paling mengagumkan. Tersingkir daripada final, dia bagaimanapun tidak berputus asa sehingga terbabit dalam filem muzikal Dream Girls yang kemudian membuka mata dunia terhadapnya.

Terkini, Jeniffer sendiri berjaya membuktikan daripada segi penampilan, dia juga mampu bersinar selepas penurunan berat badannya yang mengejutkan. Amat berbeza dengan bentuk badannya dulu, penyanyi itu ternyata menjadi inspirasi ramai.

-Leona Lewis

Selain One Direction, penyanyi jelita ini juga antara bekas peserta X-Factor yang turut melakar kejayaan tersendiri berikutan pakej rupa paras dan vokalnya yang sememangnya cukup menawan.

Popular dengan lagu seperti Bleeding Love, Better In Time, dan Run, Leona Lewis, 29, turut mendapat jolokan penyanyi gabungan diva berdasarkan suaranya yang ada iras Mariah Carey dan Whitney Houston.

Daripada gadis biasa, dia bertukar menjadi 'superstar' hebat yang mana jelas terlihat pada penampilannya juga. Meskipun namanya kini seakan kurang kedengaran, apapun Leona adalah penyanyi yang sentiasa dinantikan kemunculannya.

-Adam Lambert

Meskipun terpalit dengan isu banyak yang mengutuknya mengenai orientasi seksualnya, Adam Lambert, 32, ternyata tidak goyah untuk meneruskan legasinya sebagai antara penyanyi lelaki disegani.

Menyertai American Idol musim kelapan pada 2009, Adam terus melebarkan sayapnya tampil dengan lagu hebatnya seperti Whataya Want from Me. Padahal, dalam rancangan itu dia cuma menduduki tempat kedua apabila tewas kepada Chris Allen.

Terkenal dengan imej 'gothic' sejak daripada sesi uji bakat program itu lagi, penyanyi berkenaan kini bagaimanapun berjaya menonjolkan penampilan yang semakin matang. Begitu juga corak persembahan, Adam sentiasa bertenaga di pentas dan persembahannya tidak pernah mengecewakan.

-Susan Boyle

Kali pertama penyanyi ini melangkah masuk pentas uji bakat Britain's Got Talent pada 2009, seluruh penonton di arena itu termasuk juri memandang sinis kepadanya kerana kelihatan dungu.

Bagaimanapun, sebaik saja Susan Boyle, 53, membuka mulut mengalunkan lagu I Dreamed A Dream, seluruh penonton terbeliak dengan suaranya dan menyesali tanggapan awal masing-masing. Bermula daripada situlah, penyanyi itu mencetuskan fenomena 'don't judge a book by its cover'.

Datang daripada perkampungan kecil, dia kemudian menempuhi kehidupan lebih glamor selepas itu yang mana turut mempertemukannnya dengan penyanyi idola­nya Elaine Page.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 29 November 2014 @ 5:03 AM