Zamri (tengah) pada sidang media perletakan jawatan Shaharuddin dan Azaruddin selepas Mesyuarat Jawatankuasa Eksekutif PBNP hari ini. FOTO BERNAMA
Zamri (tengah) pada sidang media perletakan jawatan Shaharuddin dan Azaruddin selepas Mesyuarat Jawatankuasa Eksekutif PBNP hari ini. FOTO BERNAMA

Kuantan: Hasrat Ketua Jurulatih Pahang FC, Ahmad Shaharuddin Rosdi dan penolongnya Azaruddin Aziz untuk meletakkan jawatan diterima oleh Persatuan Bola Sepak Negeri Pahang (PBNP).

Naib Presiden III PBNP, Datuk Seri Zamri Ramly berkata perkara itu diputuskan pada mesyuarat Jawatankuasa Eksekutif, hari ini setelah menerima surat permohonan pelepasan jawatan itu daripada kedua-dua jurulatih berkenaan Isnin lalu.

"Seperti mana yang sedia maklum faktor mereka ingin melepaskan jawatan sebagai jurulatih adalah disebabkan atas rasa tanggungjawab mereka terhadap kemerosotan prestasi pasukan Pahang.

"Bagaimanpun pelepasan jawatan berkenaan hanya akan mula berkuat kuasa Isnin depan dan mereka (Ahmad Shaharuddin dan Azaruddin) masih mempunyai tanggungjawab untuk mengendalikan baki satu lagi perlawanan dalam Liga Super iaitu menentang Felda United FC, Sabtu ini di Stadium Tun Abdul Razak, Jengka," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menghadiri mesyuarat berkenaan yang dipengerusikan oleh Timbalan Presiden PBNP, Datuk Seri Muhammad Safian Ismail di sini.

Mengulas tentang kekosongan kedua-dua jawatan itu nanti, Zamri berkata pihak pengurusan sedang dalam proses penilaian beberapa jurulatih dalam dan luar negara bagi mengisi jawatan itu.

Katanya senarai nama beberapa jurulatih berkenaan akan diumumkan selepas tarikh berkuat kuasa tarikh pelepasan jawatan itu.

Shaharuddin, 40, dilantik sebagai Ketua Jurulatih Pahang selepas enam tahun bertindak sebagai Penolong Jurulatih Pahang. Bernama

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 10 Mac 2016 @ 10:37 PM