FOTO fail NSTP Asyraf Hamzah
FOTO fail NSTP Asyraf Hamzah
Meor Riduwan Meor Ahmad


Kuala Lumpur: Keyakinan pelabur asing untuk terus melabur di negara ini tidak terjejas meskipun dengan kejatuhan nilai Ringgit pada tahun lalu.

Timbalan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Ahmad Maslan berkata, ini terbukti apabila statistik Jabatan Perangkaan Negara merekodkan jumlah aliran masuk bersih pelaburan langsung asing (FDI) meningkat sebanyak 11.8 peratus atau RM39.5 bilion pada 2015 berbanding RM35.3 bilion pada 2014.

Katanya, pelaburan bersih FDI berkenaan meliputi sektor pembuatan sebanyak RM17.7 bilion, perlombongan (RM12.9 bilion), perkhidmatan (RM7.8 bilion), pembinaan (RM1.1 bilion) dan pertanian, perhutanan serta perikanan sebanyak RM16 juta.

"Keyakinan pelabur asing terbukti apabila mereka meningkatkan pegangan di dalam pasaran kewangan negara biarpun Ringgit menghadapi tekanan dan ekonomi dunia dibelenggu kebimbangan berikutan kenaikan kadar faedah di Amerika Syarikat dan kelembapan (ekonomi) di China.

"Pada akhir tahun lalu, pegangan pemilik asing dalam sekuriti hutan dan sukuk negara adalah sebanyak RM214.8 bilion, iaitu peningkatan hampir RM17 bilion berbanding hanya RM197.8 bilion pada akhir Ogos 2015," katanya dalam sesi soal jawab di Dewan Rakyat hari ini.

Beliau berkata demikian menjawab soalan Datuk Shamsul Anuar Nasarah (BN-Lenggong) yang mahu tahu adakan kejatuhan harga ringgitpada waktu ini menyebabkan pelabur asing hilang keyakinan untuk melabur di dalam negara.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 10 Mac 2016 @ 4:17 PM