CHONG Wei buru kejuaraan keempat.
CHONG Wei buru kejuaraan keempat.
Saiful Affendy Sapran

Kuala Lumpur: Kejohanan Seluruh England akan membuka tirainya hari ini di Arena Barclaycard, Birmingham dengan tumpuan utamanya pasti terarah kepada jaguh perseorangan negara Datuk Lee Chong Wei yang memburu kejuaraan keempat pada saingan berprestij itu.

Namun ketika Chong Wei dilihat cukup bersedia kali ini selain memperoleh laluan mudah, pengurus pasukan ke Seluruh England Datuk Seri Mohamad Norza Zakaria mengingatkan pemain nombor dua dunia itu supaya lebih berhati-hati dan tidak terlalu ghairah untuk mencari kemenangan.

“Saya sendiri sudah bertemu dengan Chong Wei sebelum dia pergi dan bertanya mengenai persiapannya.

“Dari segi undian memang memihak kepadanya tapi saya beritahu Chong Wei supaya tidak mengambil risiko.

“Bagi saya, dia sudah bersedia untuk merangkul kejuaraan Seluruh England,” katanya yang juga Timbalan Presiden Persatuan Badminton Malaysia (BAM).

Pemain berusia 34 tahun itu akan bertemu wakil India Kashyap Parupalli pada pusingan pertama esok dan andai berjaya melangkah ke pusingan kedua, dia akan bertemu sama ada pemain Denmark Hans-Kristian Vittinghus atau Wang Zhengming dari China.

Chong Wei menjuarai Seluruh England pada 2010, 2011 dan 2014.

Namun ketika Chong Wei menjadi tumpuan utama, Chong Wei Feng serta pemain bebas Zulfadli Zulkiffli juga akan mengibarkan bendera negara di saingan itu bermula dari pusingan kelayakan, hari ini.

Wei Feng akan bertemu B Sai Praneeth dari India sementara Zulfadli akan menentang pemain Indonesia Christie Jonatan.

“Saya masih berdepan kecederaan lutut tapi tidak terlalu serius. Peluang untuk menang tetap ada dan saya hanya akan fokus terhadap perlawanan pertama dulu,” kata Wei Feng.

Turut mewakili negara pada saingan itu beregu utama Goh V Shem-Tan Wee Kiong dan gandingan bebas Koo Kien Keat-Tan Boon Heong serta beregu campuran Chan Peng Soon-Goh Liu Ying.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 8 Mac 2016 @ 9:05 AM