FOTO Norizuan Shamsuddin
FOTO Norizuan Shamsuddin
Norizuan Shamsuddin


Petaling Jaya: Martabat Jalinan Muhibah Malaysia (MJMM) gesa pihak penganjur membatalkan Kursus Marxisme Kilat yang akan diadakan 20 Mac ini.

Presidennya, Abdul Rani Kulup Abdullah berkata, penganjuran kursus terbabit adalah seolah-olah mahu menghidupkan fahaman komunis.

Katanya, MJMM menyokong keputusan yang dibuat oleh Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar untuk tidak membenarkan penganjuran kursus terbabit.

"Kami tidak akan sama sekali membenarkan fahaman komunis menular dan kita minta polis menyekat kursus berkenan serta mana-mana pihak yang merancang untuk mengadakan program bagi menghidupkan fahaman komunis.

"Kami minta pihak penganjur membatalkan hasrat penganjuran kursus terbabit dan fahaman komunis tidak harus dibangkitkan semula kerana boleh menggugat keselamatan serta ketenteraman negara yang aman ini," katanya pada sidang media selepas membuat laporan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Petaling Jaya, di sini, sebentar tadi.

Laporan turut dibuat oleh sembilan badan bukan kerajaan (NGO) lain antaranya, Ikatan Rakyat Insan Muslim Malaysia (IRIMM), Pertubuhan Ikatan Kecil dan Sederhana Malaysia (IKHLAS), Pertubuhan Kebajikan Kris Mas Malaysia (Kris Mas) dan Gerak Kerja Gabungan Ayahanda Selangor (GEGAS).

Kursus Marxisme Kilat dijadualkan berlangsung di Petaling Jaya dan terbuka kepada sesiapa sahaja.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 1 Mac 2016 @ 2:10 PM