Yusoff (tengah) dikunjungi ahli PBPM cawangan Kuantan. FOTO Shahrinnahar Latib
Yusoff (tengah) dikunjungi ahli PBPM cawangan Kuantan. FOTO Shahrinnahar Latib
Shahrinnahar Latib


USIANYA sudah 95 tahun namun pengalaman diserang komunis ketika bertugas sebagai pasukan polis hutan pada awal 1960-an masih tersemat dalam fikiran pesara Yusoff Musa.

Kejadian di Dungun, Terengganu itu juga turut menyebabkan rakan sepasukan dikenali Koperal Muda meninggal dunia selepas ditembak komunis.

Yusoff berkata, dia memulakan tugas sebagai polis pada 1949 di Kuala Terengganu untuk memerangi ancaman pemberontakan bersenjata komunis pada zaman darurat.

“Ketika bertugas banyak operasi saya ikut....saya ditugaskan sebagai pemandu.

“Kejadian yang tak boleh dilupakan apabila konvoi pasukan polis diserang komunis.

“Ketika kejadian di Dungun itu saya memandu lori polis sebelum diserang komunis dan akibat serangan itu, Koperal Muda meninggal dunia akibat ditembak,” katanya ditemui di Indera Mahkota, Kuantan hari ini.

Sebelum itu, pesara polis itu menerima kunjungan ahli Persatuan Bekas Polis Malaysia (PBPM) cawangan Kuantan menerusi Program Jejak Pejuang.

Bapa sembilan orang anak itu berkata, peristiwa berkenaan tidak mematahkan semangat sebaliknya menjadikannya lebih berani untuk berbakti kepada negara.

Katanya, kali terakhir dia bertugas adalah di Markas Briged Tenggara Pusat Gerakan Am (PGA) Kem Bukit Galing, Kuantan sebelum bersara pada 1980-an.

“Pelbagai operasi saya sertai seperti Op Chayo dan Op Echo yang bertujuan memerangi pemberontakan bersenjata komunis.

“Betapa sukarnya melalui zaman darurat malah perlu berdepan pula ancaman komunis yang kejam.

“Saya ingatkan orang Melayu terutama golongan muda hargai keharmonian dan keamanan negara hari ini,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 29 April 2019 @ 11:10 AM