MUHAMMAD Izudin (kiri) sepatutnya bersanding serentak dengan adiknya, Izharuddin yang maut ditumbuk. FOTO Faiz Anuar
MUHAMMAD Izudin (kiri) sepatutnya bersanding serentak dengan adiknya, Izharuddin yang maut ditumbuk. FOTO Faiz Anuar
Ayusliza Azizan


Klang: Majlis perkahwinan Muhammad Izudin Nordin, 24, tengah hari tadi bertukar pilu apabila dia sepatutnya bersanding serentak dengan arwah adiknya, Izharuddin, 23, yang maut ditumbuk pada 3 Februari lalu.

Ahli keluarga, sanak saudara serta sahabat handai tidak dapat menahan sebak berikutan kenduri yang dirancang bagi menyaksikan perkahwinan dua anak lelaki itu serentak tidak kesampaian.

Bapa Muhammad Izudin, Nordin Mat, 50, berkata, walaupun gembira dengan perkahwinan anak lelaki sulungnya itu namun mereka masih bersedih dengan pemergian arwah.

"Sepatutnya hari ini arwah (Izharuddin) bersanding bersama abangnya (Muhammad Izudin) atas permintaan arwah namun semuanya sudah ditentukan Allah SWT.

"Keluarga tunang arwah sudah dimaklumkan mengenai majlis ini dan setakat ini mereka tidak kelihatan mungkin masih bersedih dengan kejadian itu," katanya.

Majlis perkahwinan itu diadakan di Dewan KEMAS daerah Klang di Persiaran Bukit Raja 2.

Izharuddin pemandu van sekolah di Jalan Sungai Udang, Klang meninggal dunia selepas dibelasah seorang lelaki berikutan arwah terlupa menjemput anak saudara lelaki itu.

Berita berkaitan

Tumbukan bawa maut: http://hmtro.com/1SGA2gv

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 28 Februari 2016 @ 5:17 PM