LORI kontena yang terbabas dan terbalik melintang di tengah lebuh raya.
LORI kontena yang terbabas dan terbalik melintang di tengah lebuh raya.
Ibrahim Isa


Tangkak: Kerja membersihkan laluan di kilometer 151 Lebuhraya Utara-Selatan arah utara berhampiran Tangkak masih dilakukan dan trafik masih ditutup.

Ini kerana, walaupun kepala dan badan treler sudah dialihkan, muatan plastik yang dibawa masih bertaburan menyebabkan laluan berkenaan masih belum selamat dibuka.

Ketua Polis daerah Tangkak Superintendan Mohamed Salleh Abd Razak berkata, kejadian 9.50 pagi itu berlaku apabila tayar depan treler yang dalam perjalanan dari Johor Bahru ke Kuala Lumpur meletup.

"Keadaan itu menyebabkan pemandu berkenaan hilang kawalan lalu terbabas dan treler dipandunya terbalik dan melintang di tengah lebuh raya.

"Tiada kemalangan jiwa dilaporkan dan pemandu dibawa ke Hospital Tangkak untuk mendapatkan rawatan.

"Pihak PLUS sudah mengalihkan treler itu, namun muatan plastik yang dibawa masih di lebuh raya," katanya ketika dihubungi.

Berikutan itu, Mohamed Salleh berkata, pengguna perlu mengikut arahan pihak berkuasa bagi mengelak kejadian tidak diingini.

Kemalangan itu menyebabkan kesesakan sejauh 10 kilometer kerana kenderaan berat berkenaan melintang di tengah-tengah lebuh raya.

Berikutan itu orang ramai dinasihatkan menggunakan susur keluar Pagoh atau Yong Peng Utara atau melalui Jalan Persekutuan sehingga ke Tangkak.

Bagi mengelak kesesakan, Plus membuka satu laluan dari arah Utara ke Selatan untuk membolehkan pemandu dari Johor Bahru ke Kuala Lumpur.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 26 Februari 2016 @ 4:15 PM