ZAMZAMZAIRANI  (kanan) bersama Ketua Pegawai Kewangan, Datuk Bazlan Osman menunjukkan laporan kewangan 2015 TM.
ZAMZAMZAIRANI (kanan) bersama Ketua Pegawai Kewangan, Datuk Bazlan Osman menunjukkan laporan kewangan 2015 TM.
Oleh Hafiz Ithnin

Kuala Lumpur: Telekom Malaysia Bhd (TM) menjangkakan operasi anak syarikatnya, Packet One Networks (Malaysia) Sdn Bhd (P1) akan mula stabil dalam tempoh tiga tahun akan datang menerusi pelaksanaan langkah rasionalisasi dan memperkenalkan produk baru.

P1 yang mula diambil alih TM sejak 2014 kini masih berada dalam proses memperkukuhkan kedudukan prestasinya dan dijangka mula memperkenalkan produk baru penghujung tahun ini.

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan TM Tan Sri Zamzamzairani Mohd Isa berkata, petunjuk aras prestasi (KPI) TM pada 2016 turut tidak memasukkan P1 sebagai salah satu penyumbang dalam kumpulannya.

Beliau berkata, syarikat mengunjurkan peningkatan perolehan pada kadar tiga hingga 3.5 peratus pada tahun kewangan 2016 dan 3.5 hingga empat peratus menjelang 2018 bersandarkan kepada peningkatan pengguna yang memberansangkan.

“Pada 2015, TM berdepan dengan persekitaran mencabar, tetapi masih menunjukkan prestasi memberansangkan dengan masih menjadi peneraju jalur lebar negara dan setakat tahun lalu, pengguna jalur lebar meningkat 4.9 peratus kepada 2.34 juta orang.

“Peningkatan angka pengguna ini dipacu oleh UniFi dengan peningkatan sebanyak 15.1 peratus dengan lebih 839,000 pelanggan setakat Disember 2015,” katanya pada pengumuman prestasi tahun kewangan TM berakhir 31 Disember 2015.

Pada tahun kewangan 2015, hasil kumpulan TM menokok 4.3 peratus tahun ke tahun kepada RM11.72 bilion berbanding RM11.24 bilion tahun lalu berikutan hasil yang baik merentasi semua perkhidmatan manakala, keuntungan operasi kumpulan (perolehan sebelum faedah dan cukai (EBITDA) menyusut 2.9 peratus kepada RM1.26 bilion berbanding RM1.29 bilion berikutan penggabungan penuh P1.

TM turut memperuntukkan antara 25 dan 30 peratus daripada perolehannya untuk perbelanjaan modal (Capex) tahun ini bagi meningkatkan pelbagai operasi serta produk kepada pelanggan.

Zamzamzairani berkata, TM kini memiliki 1.8 juta port dengan kadar langganan keseluruhan 4.4 peratus manakala, 56 peratus daripada pelanggan jalur lebar TM kini melanggan pakej 4Mbps dan ke atas namun selepas pelancaran UniFi serta UniFi Advance terbaru Oktober lalu, 46 peratus daripada pelanggan UniFi kini melanggan 10Mbps ke atas.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 25 Februari 2016 @ 7:18 AM