Nor Azimah Ibrahim hilang di Madinah sejak 19 Disember lalu.
Nor Azimah Ibrahim hilang di Madinah sejak 19 Disember lalu.
BERNAMA

Kuala Lumpur: Lebih dua bulan hanya interaksi bersama wakil Malaysia di Arab Saudi secara konsisten menjadi penguat semangat dan motivasi kepada keluarga Nor Azimah Ibrahim bahawa mangsa yang hilang di negara itu masih hidup.

Bapanya, Ibrahim Abdul Rahman, 54, berkata wakil Malaysia yang berkomunikasi dengan polis di negara itu akan menghubunginya sekurang-kurangnya setiap dua minggu sekali bagi memaklumkan perkembangan mengenai pencarian anaknya itu.

"Saya tidak putus doa dan berharap dia (Nor Azimah) ditemui selamat dan kembali ke pangkuan keluarga di Malaysia," katanya ketika dihubungi di sini, hari ini.

Bagaimanapun, katanya belum ada perkembangan positif setakat ini.

Ibrahim berkata anggota keluarganya juga tidak menerima sebarang panggilan daripada Nor Azimah sehingga kini.

Nor Azimah, 31, berasal dari Seksyen 30, Shah Alam, Selangor, berlepas ke Tanah Suci bersama ibu bapanya untuk mengerjakan umrah pada 11 Disember lalu, dan dijadual pulang ke Malaysia pada 22 Disember.

Dia dilaporkan hilang pada 19 Disember.

Pada hari kejadian, wanita itu berada dalam keadaan tidak sihat dan tidak mengikut ibu bapanya melakukan ziarah sebelum dilapor hilang ketika berada di Masjid an-Nabawi.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 23 Februari 2016 @ 8:26 PM