RUMAH panjang di Kapit dilanda banjir akibat limpahan air Sungai Rajang, sejak beberapa hari lalu. FOTO Ihsan Bomba
RUMAH panjang di Kapit dilanda banjir akibat limpahan air Sungai Rajang, sejak beberapa hari lalu. FOTO Ihsan Bomba
Mohd d Roji Kawi


Sibu: Seramai 128 penduduk daripada 40 keluarga di Kapit dan Song ditempatkan di dua pusat pemindahan sementara (PPS) selepas kediaman mereka dilanda banjir sejak dua hari lalu.

Di Kapit, mangsa banjir itu membabitkan seramai 84 penduduk daripada 25 keluarga yang tinggal di tiga kampung iaitu Rumah Panjang Philimon, Kampung Muhibbah dan Kampung Baru.

Mereka kini ditempatkan di pusat pemindahan sementara di Stadium Kapit.

Manakala di Song pula, seramai 44 org dari 15 keluarga dari Rumah Panjang Kulleh kini ditempatkan di Sekolah Kebangsaan Nanga Embuau.

Jurucakap Pusat Gerakan Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sarawak berkata, banjir yang melanda itu berlaku akibat limpahan air Sungai Rajang.

Beliau berkata, keadaan itu berlaku akibat hujan lebat di kawasan hulu sungai sejak beberapa hari lalu.

"Air pasang besar di Sungai Rajang memburukkan lagi keadaan dan pemantauan terus dijalankan di semua penempatan sepanjang sungai itu," katanya.

Sementara itu, tinjauan di Sibu pagi ini mendapati limpahan air Sungai Rajang turut melanda beberapa kawasan rendah, namun tiada penduduk terjejas.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 16 September 2020 @ 12:43 PM