Oleh Afiq Hanif

Bagi yang ingin menggunakan cakera keras untuk dimuatkan dalam stesen setoran, anda mempunyai pilihan untuk mendapatkan model WD Red yang pantas memindah dan memprosesa data.

Ia sekali gus bersesuaian untuk pengguna yang mahu membangunkan pusat data kecil di rumah atau melengkapkan stesen kerja SOHO.

Ujian terhadap dua cakera keras WD Red dalam Synology DiskStation DS713+ dengan dua slot NAS-bay direka membolehkan pemindahan data laju dan kapasiti tinggi.

DS713+ mempunyai kapasiti dalaman maksimum 8TB yang menggunakan kapasiti dua HDD 4TB setiap satu di samping pemprosesan dual core 2.13GHz selain memori DDR3 1GB dan perisian Disk Station Manager 4.3.

Dua cakera keras WD Red yang memberikan setoran maksimum dan operasi memindah data dari mesin ke mesin lain tidak mendatangkan sebarang masalah.

Sama ada anda menggunakan jenis sambungan USB 2.0, USB 3.0, Ethernet, dan port eSATA, ia tidak mendatangkan masalah untuk beroperasi pada persekitaran kerja yang berat.

Penyediaan setoran sehingga 8TB dengan HDD 4TB sebenarnya sudah cukup, tetapi ia masih boleh diperluaskan.

WD Red 3.5 inci mempunyai kapasiti dari 1TB sehingga 6TB.

Cakera keras WD Red dipertingkatkan prestasinya dengan NASware 3.0, versi terkini teknologi khas NASware ciptaan WD.

Ia meningkatkan lagi ketahanan dan prestasi, mengurangkan kerosakan dan memudahkan proses menyepadukan sistem.

Manakala teknologi Intellipower pula memastikan penjimatan tenaga yang optimum turut dilengkapi cache sebanyak 64MB dan SATA 3.0 6GB/s.

Dengan peningkatan kebolehan NASware 3.0, WD Red kini mampu menyokong sistem NAS sehingga lapan cakera keras, sekali gus di samping mengekalkan prestasi seperti menjalankan satu cakera keras.

INFO

WD RED

Pengeluar: WD

Laman Web: www.wdc.com

Harga: RM819 (5GB)

Ciri: Pemacu cakera keras

Pro: Laju

Kontra: Harga agak tinggi

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 26 November 2014 @ 5:01 AM