WD My Cloud Mirror.
WD My Cloud Mirror.
Afiq Hanif


Beberapa hari lalu, penguji memperoleh WD My Cloud Mirror (Gen-2) iaitu sebuah sistem penyimpanan rangkaian ‘two-bay’ (NAS) yang sememangnya sangat berguna ketika anda mempunyai banyak gajet menyimpan pelbagai gambar, dokumen, video atau sebagainya.

Cukup saja dengan kapasiti 4TB, penguji mahukan sebuah peranti yang boleh menyimpan semua aspek digital kemudian berkongsi dengan orang lain yang mempunyai akses mudah daripada mana-mana peranti mereka.

WD My Cloud Mirror (Gen-2) adalah jawapan terbaik bagi penyelesaian terbabit. Meskipun ada storan online seperti iCloud, Dropbox atau Drive, mempunyai mesin menyimpan fail digital sendiri lebih baik.

Apatah lagi jika ia membabitkan fail kerja yang sensitif. Oh ya, bagi syarikat kecil juga, WD My Cloud Mirror (Gen-2) memang sesuai untuk anda.

Storan baru ini mempunyai pemprosesan yang lebih laju selain OS My Cloud 3 lebih baik di samping aplikasi mudah alih.

Ia membolehkan anda berkongsi fail dengan mudah bagi seluruh isi rumah, web dan ‘stream’ media juga daripada mana-mana peranti mudah alih apatah lagi WD menyokong semua platform, Windows, Mac, iOS, Android dan Windows Phone.

Contohnya, penguji memasukkan video yang dirakam dalam WD My Cloud Mirror (Gen-2) kemudian adik penguji mahu melihat video sama, hanya streamkan saja daripada telefon beliau menggunakan app tanpa masalah ‘lag’.

Lebih menarik penguji mendapati Mirror mampu memainkan media dari peranti dalam rumah seperti TV pintar, pembesar suara WiFi, sistem Sonos dan banyak lagi yang mempunyai ciri DLNA atau pelayan iTunes.

Konfigurasi antaramuka WD My Cloud Mirror (Gen-2) boleh dilakukan dengan mengakses pada pelayar web yang mudah dibaca dan difahami.

Sambungkan kabel ethernet, pasangkan kabel kuasa dan layari mycloud.com/setup, itu saja.

Penguji boleh mengakses apa saja dalam WD My Cloud Mirror (Gen-2) tanpa perlu berbuat apa-apa selain hanya memindah turun aplikasi WD My Cloud saja. Tapi kalau anda mahu lebih lagi, boleh ‘google’ saja caranya yang mudah faham.

WD My Cloud Mirror (Gen-2) datang dengan akses kawalan jauh format FTP, HTTP dan P2P yang asas tapi ia mempunyai keupayaan lain juga.

Hanya klik pada ‘Add Button’ dan anda boleh pindah turun banyak lagi seperti Acer’s abFiles, aMule, Dropbox, IceCast, Joomla, phpBB, phpMyAdmin (MySQL), Plex Media Server, SqueezeCenter dan Transmission (Torrents).

My Cloud Mirror menawarkan sambungan asas melalui port gigabit ethernet dan dua port USB 3.0 untuk penyimpanan beroperasi pada CPU 1.3GHz Marvel ARMADA 385 dual core, memori 512MB DDR3.

Anda mahukan WD My Cloud Mirror (Gen-2) ini secara percuma? Jangan lupa pindah turun aplikasi Tech Kingdom dan tunggu pengumuman kami di laman Facebook juga (www.facebook.com/TechKingdomMY)

INFO

WD MY CLOUD MIRROR (GEN-2)

- HARGA: RM1,349 (4TB), RM1,749 (6TB), RM2,169 (8TB)

- PENGELUAR: WD

- CIRI: Storan NAS

- PRO: Pindah laju

- KONTRA: Warna putih

- LAMAN FB: /www.facebook.com/WDMalaysia

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 22 Jun 2016 @ 1:02 PM