Rabi 'Atul 'Adawiyah Ismail

Kuching: Hujan lebat berterusan menyebabkan jumlah mangsa banjir di negeri ini terus meningkat apabila 2,869 daripada 779 keluarga ditempatkan di 22 pusat pemindahan di Kuching, Serian dan Samarahan.

Satu pusat pemindahan baru dibuka di Samarahan dan sembilan di Kuching, pada kira-kira 6 pagi, hari ini.

Jurucakap Sakretariat Jabatan Pengurusan Bancana Negeri (JPBN), berkata jumlah mangsa banjir dijangka terus meningkat berikutan hujan masih berterusan dan peningkatan paras air sungai.

Menurutnya, pasukan penyelamat ketika ini dalam proses pemindahan penduduk Kampung Surih, Segedup, ke Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Batu Kawa kerana kawasan kampung itu dinaiki air.

Sementara itu, bekalan makanan kering untuk penduduk Kampung Giam, Padawan berjaya diserahkan ke mangsa banjir di pusat pemindahan selepas terkandas hampir sembilan jam berikutan laluan terputus kerana dinaiki air pada jam 12.05 tengah malam tadi.

Jurucakap bomba berkata, sementara menunggu air surut di laluan desa itu, bekalan makanan dihantar menggunakan perahu penduduk kampung.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 21 Februari 2016 @ 10:29 AM