DEV (tengah) melihat barang yang dirampas dalam satu sidang media di IPD Padawan. FOTO Jeaqkleyn Yacho
DEV (tengah) melihat barang yang dirampas dalam satu sidang media di IPD Padawan. FOTO Jeaqkleyn Yacho
Rabi 'Atul 'Adawiyah Ismail


Kuching: Tiga lelaki suspek kes samun warga Indonesia ditahan dalam dua serbuan berasingan di Serian dan Batu Kawa di sini, pagi tadi.

Dalam serbuan pertama oleh sepasukan polis dari Bahagian Siasatan Jenayah (JSJ) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Serian, dua lelaki masing-masing berusia 18 dan 22 tahun ditahan di Batu 29, Jalan Kuching-Serian, 1 pagi tadi.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Sarawak, Senior Asisten Komisioner Dev Kumar berkata, serbuan pertama dan pemeriksaan dalam kereta yang dinaiki suspek, menemui satu beg mengandungi beberapa barang berharga dipercayai barang curi.

Menurutnya, penahanan dua lelaki itu membawa kepada tangkapan suspek ketiga berusia 31 tahun di rumah kongsi di Sungai Moyan, Batu Kawa, di sini pada 5.30 pagi.

"Siasatan awal mendapati kumpulan ini terbabit dalam enam kes samun berkumpulan pada tahun ini dan Disember lalu di daerah Padawan serta Bau.

"Ketiga-tiga suspek diserahkan kepada IPD Padawan untuk siasatan selanjutnya," katanya.

Kejayaan Operasi Rantau IPD Serian ini turut mendapat perhatian Ketua Polis Negara Tan Sri Khalid Abu Bakar menerusi akaun twitternya pagi tadi.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 9 Februari 2016 @ 3:55 PM