Oleh Mohd Rafi Mamat

Kuantan: Imej selaku atlet pelapis kebangsaan menjadi sandaran penembak muda Pahang, Low Wei Chern (gambar) untuk merangkul lebih banyak pingat emas dalam acara pistol pada Sukan Malaysia (SUKMA) Sarawak 2016 pada Julai nanti.

Pencapaian cemerlang dengan membawa pulang empat pingat emas dan satu gangsa pada SUKMA Perlis 2014 menguatkan lagi keyakinan atlet berpengalaman lebih empat tahun dalam sukan menembak itu.

Wei Chern berkata, dia akan berusaha meraih seberapa banyak emas untuk Pahang yang mensasarkan lima emas menerusi acara pistol dan raifal.

Menurutnya, tiga acara kegemaran yang diharap menghasilkan emas adalah standard, ‘rapid fire’ dan sport kategori individu dan berpasukan.

Dia berkata, peluang merangkul emas dalam tiga acara berkenaan agak cerah, tetapi pada masa sama tidak memandang mudah saingan beberapa penembak Selangor, Sarawak dan Kuala Lumpur.

“Saya yakin dengan latihan berterusan dan penyertaan kejohanan di dalam dan luar negara, misi merangkul emas seperti di SUKMA Perlis akan menjadi kenyataan.

“Impian utama saya kali ini adalah untuk memecahkan rekod acara rapid fire. Rekod terbaik saya adalah 557 mata,” katanya ketika ditemui pada sesi latihan di Kompleks Menembak Majlis Sukan Pahang (MSP), di sini, semalam.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 6 Februari 2016 @ 5:06 AM