Sunderland: Pengurus Manchester City Manuel Pellegrini (gambar) menolak khabar angin yang mendakwa kehadiran Pep Guardiola untuk menggantikannya bakal menjejaskan peluang mereka memenangi kejuaraan musim ini.

Kemenangan 1-0 di Sunderland semalam membolehkan Pellegrini melakar kemenangan ke-65 sepanjang 100 aksi Liga Perdana - catatan yang hanya diatasi bekas pengurus Chelsea Jose Mourinho yang menang 73 daripada 100 perlawanan utama.

Rekod pengendali Chile itu turut mengatasi catatan Alex Ferguson sepanjang 100 perlawanan pertama liga dan jauh lebih baik berbanding Roberto Mancini dan bekas pengendali Liverpool Rafael Benitez.

Tetapi catatan itu tidak akan menghalang hasrat pengurusan tertinggi kelab untuk menggantikannya hujung musim ini dengan Guardiola dan pengumuman dibuat Isnin lalu itu mendominasi sidang akhbar diadakannya semalam.

Ketika menjawab soalan mengenai kemungkinan pelantikan Guardiola mengganggu tumpuannya bersama City yang masih lagi bersaing di Liga Perdana, Liga Juara-Juara, Piala Liga dan Piala FA, beliau menjawab: “Pengumuman itu tidak mengganggu saya. Saya hanya mahu menumpukan perhatian kepada perlawanan selepas ini iaitu menentang Leicester.

“Saya mahu mencatat kejayaan dalam semua pertandingan. Saya menumpukan perhatian memperoleh tiga mata. Kami semua lebih suka memikirkan musim ini berbanding akan datang.

“Ketika ini kami berada di kedudukan baik dan jika berjaya menamatkan musim dengan hebat, ia pasti sesuatu yang istimewa.

“Perjalanan kami semakin sukar dengan setiap perlawanan selepas ini sangat penting tapi itulah yang di tumpukan ketika ini. Saya tidak memikirkan mengenai diri sendiri. Saya hanya mahu bercakap mengenai pasukan dan kelab.”

Jaringan Sergio Aguero pada minit ke-16 dan aksi menarik dipamerkan Joe Hart di gawang City menjadi garis pemisah antara kedua-dua pasukan. - AFP

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 4 Februari 2016 @ 7:23 AM