GUARDIOLA (kiri) akan berentap dengan Pellegrini. FOTO/AGENSI
GUARDIOLA (kiri) akan berentap dengan Pellegrini. FOTO/AGENSI
AFP

MANCHESTER: Pep Guardiola akan berdepan Manuel Pellegrini – bekas pengendali Manchester City minggu ini dengan juara bertahan Liga Perdana Inggeris (EPL) berada pada landasan tepat untuk memperbaharui rekod.

Walaupun City ke West Ham dengan kelebihan dua mata di puncak carta, skuad Guardiola sebenarnya dilihat lebih hebat berbanding 12 bulan lalu.

Berdasarkan statistik, dengan City secara puratanya menjaringkan tiga gol setiap perlawanan dan tidak mustahil mampu mengatasi rekod EPL musim lalu 100 mata dan 106 gol sepanjang kempen.

Dalam konteks itu, ia secara tak langsung bukan sesuatu mengejutkan apabila Guardiola baru-baru ini mengakui beliau kini adalah pengurus lebih baik berbanding semasa di Bayern Munich dan Barcelona.

“Kini, saya berasakan saya pengurus lebih baik, kerana saya belajar mengendalikan situasi luar biasa dalam liga hebat ini,” kata Guardiola.

“Ia adalah paling sukar dari segi jumlah perlawanannya, keadaan cuaca dan pengadil mengatakan: teruskan bermain, teruskan bermain dan pencabar kejuaraannya adalah banyak.”

Pellegrini yang pernah membimbing City selama tiga musim dan berjaya memenangi satu gelaran EPL dan dua Piala Liga pastinya tidak bersetuju dengan penilaian Guardiola itu.

Malah, kedua-dua pengurus itu pastinya canggung apabila bertentang mata hujung minggu ini susulan dakwaan terbaru oleh laporan Football Leaks.

Akhbar Jerman, Der Spiegel mendakwa Guardiola sebenarnya menandatangani kontrak untuk menguruskan City pada Oktober 2015 walaupun kelab itu tidak mengumumkan pelantikannya sehingga Februari 2016.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 23 November 2018 @ 11:48 AM