PESERTA mengayuh tenang ketika jalan mendatar.
PESERTA mengayuh tenang ketika jalan mendatar.
Oleh Asrizal Aris


Mendaki ketinggian 1,100 meter dari aras laut bukan mudah terutamanya jika anda berkayuh basikal dan dalam perlumbaan. Namun, bagi 551 peserta King Of Mountain Cameron Highlands 2015, perlumbaan ini antara kejohanan terbaik membuktikan keupayaan diri.

Dianjurkan oleh Kelab Basikal Darul Ridzuan (DRCC), pertandingan King Of Mountain Cameron Highlands 2015 ini bagi mencari ‘Raja Bukit’ Cameron Highlands, di mana peserta perlu berkayuh sejauh 53 kilometer.

Kayuhan yang membabitkan antara dua negeri itu merangkumi laluan mendaki ke puncak bukit serta menempuh beberapa selekoh tajam yang pastinya me­nguji ketahanan fizikal dan mental peserta ditambah pula dugaan kenderaan berat yang turut menggunakan jalan sama.

Lokasi pelancongan yang terkenal dengan suhu sejuk dan bertekanan tinggi itu juga medan bagi me­nguji kawalan pernafasan dan penguasaan stamina pelumba yang merebut gelaran Raja Bukit Cameron Highlands sekali gus memberi pengalaman baru buat mereka.

Peserta dari Kuala Selangor Cycling Club (KSCC), Zuraini Jalili, 47, berkata trek Raja Bukit Cameron Highlands sangat mencabar kerana jaraknya yang jauh serta laluan mendaki yang tidak memberi peluang kepada peserta untuk berehat.

“Ini kali kedua saya menyertai kejohanan Raja Bukit selepas menghabiskan kayuhan di Genting Sempah baru-baru ini. Bagaimanapun, di sini jauh lebih mencabar kerana jaraknya yang panjang ditambah di kawasan tekanan tinggi menyebabkan peserta perlu mengawal pernafasan dengan baik.

“Selain itu, kawasan ini bersuhu rendah menyebabkan kami kesejukan dan perlu bijak mengekalkan kepanasan badan. Namun, berkayuh ke puncak Cameron Highlands satu pengalaman baru yang seronok dan kami akan kembali sekiranya Raja Bukit diadakan lagi di sini,” katanya.

Peserta muda dari Kelab Basikal Koipro Temerloh Pahang, Muhd Hazli Zulkefli, 14, berkata cabaran berkayuh di Cameron Highlands menjadi platform untuk dia memulakan karier sebagai Raja Bukit meskipun kali pertama penyertaan.

“Ini kali pertama saya menyertai kejohanan Raja Bukit dan ia sangat mencabar kerana betul-betul menguji ketahanan luaran dan dalaman terutama dari segi pernafasan yang menyebabkan saya beberapa kali menelan air liur ketika berkayuh.

“Alhamdulillah, saya mendapat tempat ketiga kategori junior meskipun baru tiga tahun aktif berkayuh dan ini satu permulaan yang baik untuk saya kembangkan bakat untuk bergelar Raja Bukit satu hari nanti,” katanya.

Peserta dari New Zealand, Allan Collin, 36, berkata dia umpama kembali ke negara asal selepas berada di puncak Cameron Highlands dan memuji keindahan serta alam semula jadi yang berada di situ.

“Ini kali pertama berada di Malaysia dan pengalaman berkayuh basikal menuju puncak bukit di sini satu yang sangat menakjubkan. Ketika di permulaan, suhu tidak begitu sejuk tetapi saya terkejut di pertengahan trek saya berasa dingin dan dikelilingi air terjun yang cantik.

“Saya tak sangka lokasi pelancongan seperti ini boleh dikombinasikan menjadi trek basikal kerana ia mung­kin sebuah kawasan yang sibuk dengan kenderaan. Malaysia sangat unik dan aktif dengan sukan,” katanya yang mewakili Kelab Matador Racing Singapura.

Peserta wanita, Angeela Tey, 33, berkata meskipun trek mendaki begitu berisiko, namun langkah keselamatan diambil penganjur terhadap peserta perlu diberi pujian kerana dikawal setiap masa.

“Laluan di sini sangat menarik dengan permanda­ngan semula jadi dan suasana sejuk memberi mood santai kepada peserta yang berkayuh. Walaupun risiko keselamatan dengan kereta dan lori yang memotong kami, tapi kawalan daripada urus setia dan polis sangat bagus.

“Saya hampir putus asa kerana trek mendaki tanpa henti membuat saya penat. Namun semangat untuk terus berjuang membuat saya berjaya mendapat tempat di sini dan saya tidak sangka menang,” kata anak kelahiran Batu Pahat, Johor.

Setiausaha DRCC, Zulhikmi Zali berkata penganjuran kelab yang baru ditubuhkan Oktober lalu itu sengaja memilih trek mendaki puncak Cameron Highlands kerana ia betul-betul menguji kemahiran kayuhan peserta yang ingin bergelar Raja Bukit.

“Meskipun tidak menempuh trek dalam hutan, tapi mereka tetap diberi cabaran seperti mendaki bukit sejauh 53 kilometer, mengawal pernafasan di kawasan tekanan tinggi serta menempuh laluan yang turut dilalui kenderaan lain termasuk lori.

“Namun kami tetap mengutamakan keselamatan peserta dan mengawal setiap pergerakan serta laluan yang mereka lalui,” katanya yang juga bekas Juara Lumba Basikal Remaja Kebangsaan 1992.

Menurutnya penganjuran di Cameron Highlands juga bertujuan mempromosi pelancongan di Malaysia memandangkan ramai peserta dari luar negara seperti Singapura, Taiwan dan New Zealand.

Katanya, beberapa penduduk setempat turut berkayuh bersama peserta sepanjang laluan mendaki bukit itu sekali gus memberi petanda baik terhadap sukan basikal di negara ini yang semakin mendapat tempat dalam kalangan masyarakat.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 31 January 2016 @ 5:01 AM