SERAMAI 550 peserta bersaing merebut gelaran Raja Bukit.
SERAMAI 550 peserta bersaing merebut gelaran Raja Bukit.
Oleh Asrizal Aris

Cameron Highlands: Pelumba dari Kelab Pegasus Cycles (PCC) Ahmad Fallanie Ali, 32, mencipta gelaran kedua selepas merangkul juara kategori terbuka lelaki pada pertandingan kayuhan basikal King of the Mountain Challenge Cameron Highlands anjuran Darul Ridzuan Cycling Club (DRCC), kelmarin.

Pada kayuhan bermula dari Balai Bomba dan Penyelamat Simpang Pulai, Ipoh, Fallanie berjaya menghabiskan kayuhan sejauh 53 kilometer dengan catatan masa satu jam 50 minit meninggalkan 550 peserta di belakang sekali gus mencipta nama sebagai Raja Bukit buat kali kedua di trek itu.

Fallanie berkata, perlumbaan kali ini lebih mencabar kerana disertai beberapa pelumba luar negara walaupun bertanding di trek yang sama ketika dia menjuarai pertandingan Raja Bukit pada 2012.

“Pada mulanya, saya tak jangka saya mendapat tempat bagi kejohanan kali ini kerana berasa tercabar dengan rakan pelumba yang pernah mencipta nama ditambah pula saingan sengit pelumba luar.

“Trek ini amat mencabar kerana laluan mendaki tanpa henti untuk sampai ke puncak memerlukan banyak stamina ditambah pula kawasan yang mempunyai tekanan tinggi menyebabkan pelumba terpaksa fokus kepada pernafasan berbanding kayuhan,” ujar anak jati Terengganu itu.

Menurutnya, meskipun pelumba luar negara dari Kelab Matador Racing (MRC) Singapura mendominasi beberapa kategori namun dia tetap berbangga mengharumkan nama negara menjadi peserta tempatan pertama tiba di garisan penamat.

Presiden DRCC Suhaimi Mat Samad berkata, kelab penganjur yang baru ditubuhkan itu memilih trek mendaki bukit jalan ke Cameron Highlands sebagai laluan kerana mahu memberi pengalaman kepada pelumba baru di samping mempromosi lokasi pelancongan di Malaysia.

“Peserta perlu menempuhi cabaran laluan mendaki sepanjang 53 kilometer dan mengharungi suhu sejuk apabila semakin hampir dengan puncak bukit untuk bergelar ‘Raja Bukit’. Ia pengalaman baru buat mereka yang belum pernah menyertai cabaran King of Mountain.

“Selain itu, kami juga mengambil kesempatan memilih Cameron Highlands sebagai trek untuk mempromosi lokasi pelancongan di Malaysia memandangkan peserta kebanyakannya terdiri dari pelumba luar negara,” katanya.

Fallanie yang muncul juara kategori utama membawa pulang jersi Raja Bukit, pingat, wang tunai dan baucar sebanyak RM2,000. Juara bagi kategori terbuka wanita, junior veteran dan senior veteran dimenangi wakil MRC Singapura.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 7 Disember 2015 @ 5:04 AM