Oleh Aida Adilah Mat

Kuala Lumpur: Pemegang rekod 100 meter kebangsaan Badrul Hisyam Abdul Manap (gambar) tidak mahu terus dibuai mimpi indah dijulang wira sebaliknya bertekad melepasi syarat kelayakan ditetapkan Kesatuan Olahraga Malaysia (KOM) ke temasya Sukan Olimpik di Rio tahun depan.

Dia kini meneruskan latihan seperti biasa dengan jadual latihan dikendalikan jurulatihnya Mohd Poad Md Kassim selain menyertai kem Kita Juara 2017 yang tamat 22 Disember ini.

Biarpun masih belum mengetahui senarai kejohanan yang akan disertai tahun depan, Badrul berkata, dia menetapkan sasaran menyertai beberapa kejohanan terbuka dalam negara selain berharap menebus kehampaan Sukan Malaysia (SUKMA) di Sarawak tahun depan.

Katanya, dia sudah menjalani latihan sejak berada di Brunei dan sambutan hangat yang diberi terhadapnya kerana memecahkan rekod kebangsaan tidak mengganggu fokusnya untuk menjadi raja pecut Asia Tenggara ketika negara menjadi tuan rumah temasya itu pada 2017.

“Saya harap akan terus berjaya dalam sukan olahraga dan membantu mengharumkan nama negara di peringkat lebih tinggi,” katanya.

Bagi membolehkannya beraksi secara merit di temasya Olimpik Badrul perlu melepasi catatan 10.16 saat bagi Kategori A dan 10.24s untuk B.

Ditanya sama ada KOM ada menghubunginya untuk berbincang mengenai perancangan masa depannya, Bad
rul berkata tiada apa dimaklumkan kepadanya selain daripada dikhabarkan bakal diberikan insentif RM5,000.

Sebelum ini, kejayaan Badrul mengejutkan ramai pihak apabila melakarkan rekod baru kebangsaan 10.29s untuk memadamkan rekod lama 10.30s berusia 17 tahun milik Watson ketika menyertai kejohanan Sekolah-Sekolah ASEAN di Bandar Seri Begawan.

Sebelum beraksi di Brunei, Badrul sebelum itu sudah melakarkan impak tersendiri apabila menyerlah acara 100 dan 200m di Kejohanan Olahraga Terbuka UniMAP bulan lalu.

Malah dia turut mempamerkan larian bertenaga apabila melakarkan 20.88s dalam acara 200m untuk mengatasi catatan Tan Sri Dr M Jegathesan (20.92s) yang dilakarkan pada 1968.

Namun catatan itu tidak diiktiraf sebagai rekod kebangsaan berikutan tiupan angin yang mencecah 2.0 meter sesaat.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 17 Disember 2015 @ 9:38 AM