KESESUAIAN pasu gantung juga penting.
KESESUAIAN pasu gantung juga penting.
PERLU penjagaan rapi jika inginkan bunga kekal subur.
PERLU penjagaan rapi jika inginkan bunga kekal subur.
PESONA bunga mekar yang menyerikan balkoni anda.
PESONA bunga mekar yang menyerikan balkoni anda.
AURA segar yang menambahkan keindahan taman.
AURA segar yang menambahkan keindahan taman.

Keindahan semula jadi taman sering dikaitkan dengan warna-warni bunga segar yang menjadi terapi dengan daya tarikan tersendiri termasuk bunga rona terang.

Dalam mencipta taman indah di balkoni, pelbagai perincian perlu diambil kira, apatah lagi ruang berkenaan sempit.

Paling utama anda perlu mengetahui kesesuaian pilihan tanaman, reka letak, pasu, penjagaan dan penyelenggaraan taman seperti itu.

Menempatkan tanaman gantung antara pilihan paling sesuai, namun memerlukan pengetahuan khusus mengenainya. Ini kerana ia tidak hanya berfungsi mengindahkan suasana, tetapi menggambarkan kreativiti pemiliknya.

Bermula dengan pemilihan pasu bunga, jenis pasu ringan daripada plastik sesuai digunakan berbanding pasu tanah liat.

Faktor pertumbuhan tanaman pula bergantung kepada suhu, kelembapan dan cahaya.

Pada masa sama, tanaman yang dipilih mestilah sesuai dengan persekitaran. Seharusnya memerlukan kelembapan tinggi bagi membolehkannya hidup subur di tempat teduh.

Dalam mengekalkan kesuburan, tanaman di balkoni perlu disiram sekurang-kurangnya dua kali sehari.

Dari segi pembajaan, ia memerlukan nutrien secukupnya. Selain itu, usah abaikan aspek penjagaan dan pastikan kedudukan tanaman gantung melebihi paras penglihatan.

Elakkan terlalu tinggi bagi memudahkan penyelenggaraan seperti menyiram dan memangkas dahan.

Cipta sudut pandangan luar biasa dengan memilih beberapa jenis tanaman daripada dua atau tiga warna dan gantung secara berselang-seli.

Kaedah ini bertujuan mendapatkan reka bentuk yang menarik dan tidak terlalu serabut bagi sebuah taman kecil.

ANTARA pokok berbunga sesuai sebagai tanaman gantung:

-Ros Jepun, turut dikenali sebagai bunga kembang petang, bunga pukul sepuluh dan bunga gelang.

Ada pelbagai warna ros Jepun seperti merah jambu, merah terang, putih kuning, ungu dan oren. Tanaman ini boleh mengeluarkan bunga yang banyak jika mendapat cahaya matahari secukupnya.

Ia sesuai untuk laman berkonsep taman Inggeris dan kontemporari.

-Petunia pula dianggap eksotik kerana berasal dari Amerika Selatan. Kelopak­nya mempunyai satu atau dua warna berjalur dengan warna kontra.

Ia antara tanaman yang sensitif, justeru elak terlalu terdedah kepada cahaya matahari.

Buang bunga petunia yang layu bagi mengelak ia menghasilkan biji benih. Jika terus dibiarkan, petunia kurang berbunga.

-Pokok bunga kertas, juga dikenali sebagai Bougainvillea antara tanaman hiasan tropika yang popular.

Banyak kacukan dilakukan daripada tiga spesies asal ini untuk menghasilkan pokok bunga kertas yang pelbagai warna kelopak, baik selapis atau banyak lapis.

-Pepohon hijau sesuai seperti paku-pakis.

Ia antara pokok hiasan paling digemari kerana mempunyai daun yang menarik dan pelbagai bentuk.

Kebanyakan paku-pakis hiasan di negara ini berasal dari Asia Tropika dan antara yang terkenal ialah Osaka.

-Pokok duit-duit atau money plant.

Tanaman ini mudah hidup dan tidak memerlukan penjagaan rapi. Dedaun hijaunya mampu membuatkan taman kelihatan semula jadi.

Ketika matang, daunnya itu mencapai 100 sentimeter panjang dan berbentuk pinatifid iaitu mempunyai lekuk hingga tulang daun.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 22 November 2014 @ 5:02 AM