Oleh Siti Nadirah Hafidzin

Suami idaman wanita dalam membina sebuah keluarga bahagia bukan lagi terletak pada kemewahan serta kekayaan harta yang dimiliki namun hakikatnya ia lebih menjurus kepada aspek tanggungjawab dan bertimbang rasa.

Pastinya setiap isteri terutama isteri berkerjaya mengharapkan seorang suami yang sentiasa berada di sisi ketika susah mahupun senang malah dapat membantu mereka di rumah selepas pulang bekerja.

Hakikatnya, semua tanggungjawab dalam menyediakan makan dan menyiapkan perihal rumahtangga adalah tanggungjawab si suami namun dek rasa kasih dan sayang isteri kepada suami, isteri sanggup melakukan segalanya walaupun dalam keadaan terpaksa kerana kepenatan.

Isu ini ternyata bukan suatu isu baru malah mana-mana wanita terutama yang sama-sama keluar bekerja bagi membantu si suami mengharapkan perkara yang sama dalam menjalani kehidupan bekeluarga.

Baru-baru ini, pakar motivasi, Dr HM Tuah Iskandar Al-haj memuat naik status di laman Facebooknya yang turut dikongsi lebih 10,000 pengikut di laman sesawang itu yang rata-ratanya menunjukkan kebanyakan golongan wanita mengharapkan si suami turut membantu dalam melaksanakan tugas di rumah.

Status yang dimuat naik itu dipetik daripada bab empat - Tip Pasangan Bahagia daripada buku Ini Kisah Suami Isteri 2 oleh Dr HM Tuah sendiri.

Antara status itu, “4. Jangan nak jadi ‘seri paduka’ di rumah sepanjang masa. Dah sama-sama kerja, kenalah tanggung kerja rumah itu sama-sama. Takkan biarkan isteri sorang buat kerja, memasak, cuci pinggan, basuh baju, menyapu, urus anak sedang awaknya duduk sila panggung baca suratkhabar atau tengok tv. Cukup time nak makan.

“Itu kalau isteri tak bekerja tak apalah sangat, tapi kalau sama-sama bekerja tak boleh amalkan jadi ‘seri paduka’ sepanjang masa. Untuk eratkan hubungan dan kasih sayang apa salah tolong-tolong sikit.

“Kecuali isteri memang kemaruk sangat nak buat sorang - “Abang jangan sentuh apa-apa bang, biar ani sorang yang buat kerja ni,” Ikhlas dari lubuk hati, semata-mata untuk jadi isteri solehah. Tapi kalau isteri dok muncung buat kerja sorang-sorang kenalah buat sesuatu juga ye bang.”

Menurut Dr HM Tuah, tugas di rumah itu perlu dilakukan bersama-sama demi mengecapi kebahagiaan sebenar dan tanpa ada rasa dendam mahupun keterpaksaan dalam hati.

“Suami idaman adalah seorang suami yang dapat menenangkan isterinya dan memahami apa yang tersurat mahupun tersirat di sudut hati isteri.

“Disebabkan itu, jalan terbaik lelaki jangan jadi ‘seri paduka’ di rumah sepanjang masa dan bantulah isteri terutama kepada isteri yang bekerja kerana masing-masing mempunyai komitmen di pejabat dan tekanan tersendiri,” katanya.

Dr HM Tuah turut berkongsi enam langkah tepat bagi meringankan bebanan isteri di rumah bagi pasangan yang sama-sama bekerja:

1. Berbahagi tugas mengikut minat dan bakat

Ini boleh dirancang ketika berada di dalam kereta sekiranya pulang bersama-sama atau boleh ditetapkan sejak awal lagi mengikut kepakaran dan minat masing-masing. Contohnya jika suami lebih seronok melipat kain berbanding memandikan anak jadi si suami lakukan tugas itu. Ini bermakna si suami boleh duduk ‘sila panggung’ apabila sampai di rumah dengan membaca akhbar atau menonton televisyen tetapi tidak akan tidur selagi kain belum dilipat.

2. Lakukan semua perkara bersama-sama

Sebenarnya ia lebih seronok sekiranya dapat dilakukan contohnya si isteri memasak dan pada masa yang sama si suami membasuh pinggan mangkuk. Ini menjadikan hubungan lebih intim atau isteri memasak nasi dan si suami pula memotong bawang, selesai memasak, sama-sama boleh mengemas rumah.

3. Makan bersama boleh menghilangkan beban pemikiran

Bayangkan pasangan yang tiada pembantu rumah, jika boleh saling membantu dalam penyediaan makanan kemudiannya makan bersama-sama dengan anak-anak yang keletah tentu menghiburkan. Selamilah tujuan berkahwin, bukankah antara lain untuk menikmati keindahan hidup dalam sebuah rumahtangga yang ceria.

4. Jika benar-benar penat elakkan memaksa diri

Pasangan yang sama-sama penat kerana bekerja sehari suntuk, boleh mengambil langkah biarkan saja dulu. Bermakna, apabila sampai di rumah tangguhkan dulu perkara yang boleh ditangguhkan seperti mengemas ruang tamu. Lakukan apabila anda dan pasangan tidak terlalu penat atau lebih bertenaga. Memaksa diri untuk melakukannya hanya akan menyebabkan anda berasa tidak ikhlas, menyampah dan semakin membenci pasangan.

5. Suami memujuk dengan kata-kata yang lembut

Jika sememangnya anda malas untuk membantu, jangan tunjuk ego tetapi pujuklah isteri yang sedang kepenatan itu dengan kata-kata yang menarik. Memuji boleh membuatkan isteri lega dan tidak terlalu rasa didera contohnya “Wah, ligat Aini buat kerja,” atau “Orang yang banyak bergerak bentuk badannya akan semakin mengancam, suami pun makin sayang,”

6. Usahakan pembantu

Jika keadaan sudah tidak dapat dikawal, maksudnya keadaan jadi lintang-pukang serta sudah tiada kesanggupan untuk mengurusi sendiri, mendapatkan seorang pembantu rumah jalan terbaik. Tidak mengapa berkorban wang demi keselesaan dan kebahagiaan rumahtangga, berbanding hendak melakukan semua perkara kononnya hendak berjimat tetapi pada masa yang sama kasih sayang semakin terhakis.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 15 January 2016 @ 11:29 AM