Oleh Izlaily Nurul Ain Hussein


Johor Bahru: Seorang pengajar kelas memandu di Simpang Renggam, didenda RM8,000 oleh Mahkamah Sesyen di sini, hari ini atas tuduhan menerima rasuah RM300 daripada calon ujian memandu, dua tahun lalu.

Hakim Mohamad Haldar Abdul Aziz menjatuhkan hukuman itu selepas tertuduh, Rosmala Abidin, 52, mengaku bersalah bagi pertuduhan dibacakan jurubahasa mahkamah terhadapnya.

Berdasarkan kertas pertuduhan, wanita terbabit didakwa menerima rasuah daripada Sahina Omar, 34, sebanyak RM300, di restoran pasar raya di Jalan Air Hitam, Simpang Renggam, Kluang dekat sini, kira-kira 6 petang, 30 September 2014.

Perbuatan itu sebagai dorongan untuk menjalankan pengaruh peribadinya terhadap pegawai Jabatan Pengangkutan Jalan Malaysia untuk mendapatkan Lesen Memandu Kelas D gerenti lulus di tapak ujian memandu.

Bagi perbuatan itu, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 163 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum setahun atau denda atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Pendakwaan dijalankan Timbalan Pendakwa Raya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Noor Fazlin Hamdan, manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 11 January 2016 @ 10:52 AM