Fuad Hadinata Yaacob dan Ekhwan Haque Fazlul Haque

Shah Alam: Parti Keadilan Rakyat, DAP dan Parti Amanah Negara atau AMANAH memeterai Perjanjian Pakatan Harapan, di sini, hari ini, membabitkan tujuh asas perjanjian utama.

Tujuh asas berkenaan adalah prinsip dalam membuat keputusan bersama, pembinaan kesatuan politik, prinsip dalam menyelesaikan pertikaian dan dasar bersama.

Selain itu asas perjanjian lain adalah perjalanan pilihan raya, perjalanan kerajaan dan pembangkang serta keabsahan pakatan.

PKR diwakili Presidennya, Datuk Seri Dr Wan Azizah Ismail; DAP diwakili Setiausaha Agungnya Lim Guan Eng manakala AMANAH diwakili Presidennya Mohamad Sabu.

Dr Wan Azizah berkata, Pakatan Harapan itu bertujuan membina kesatuan politik bersama demi membangun dan membela rakyat.

Selain itu katanya, ia juga berfungsi sebagai pakatan politik untuk berdepan UMNO dan Barisan Nasional (BN).

"Kita memerlukan gabungan politik yang kuat sebab itu kita perlukan parti pembangkang gergasi dan kuat.

"Matlamat kita untuk membela rakyat," katanya pada majlis pelancaran Perjanjian Pakatan Harapan, di sini, semalam.

Dalam satu daripada asas perjanjian berkenaan, jika ada parti yang melanggar perkara dalam Perjanjian Pakatan Harapan, parti lain boleh membuat keputusan menggugurkan keanggotaan parti itu.

Penubuhan Pakatan Harapan itu menamatkan fungsi pakatan pembangkang yang dianggotai PKR, PAS dan DAP sebelum ini.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 9 January 2016 @ 6:40 PM