PERARAKAN sempena Sambutan Maulidur Rasul 1437H/2015M Peringkat Negeri Johor dari Jalan Payamas ke Masjid Jamek Tangkak.
PERARAKAN sempena Sambutan Maulidur Rasul 1437H/2015M Peringkat Negeri Johor dari Jalan Payamas ke Masjid Jamek Tangkak.
Teks dan gambar Hai Rozzaman Jalal


Tahun 2015 sangat bermakna bagi umat Islam apabila berpeluang meraikan sambutan Maulidur Rasul dua kali iaitu pada 3 Januari dan 24 Disember.

Johor tidak ketinggalan meraikan Sanbutan Maulidur Rasul 1437H/2015M Peringkat Negeri di Masjid Jamek Bandar Tangkak.

Sempena sambutan itu, perarakan sejauh dua kilometer didakan bermula dari Sekolah Kebangsaan Sri Tangkak di Jalan Payamas ke masjid berkenaan disertai 70 kontinjen terdiri daripada jabatan kerajaan, sekolah, badan berkanun, swasta dan badan bukan kerajaan (NGO) sambil berselawat.

Turut menyertai perarakan ialah Timbalan Menteri Sumber Asli dan Alam Sekitar Datuk Ir Hamim Samuri, Setiausaha Kerajaan Negeri Johor Datuk Ismail Karim, Pengerusi Jawatankuasa Agama Johor Abd Mutalip Abd Rahim, Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan dan Alam Sekitar Datuk Ayub Rahmat dan Pengerusi Jawatankuasa Pertanian dan Industri Asas Tani Ismail Mohamed.

Mufti Johor Datuk Mohd Tahrir Shamsudin, Penasihat Majlis Agama Islam Johor (MAIJ) Datuk Nooh Gadot dan Pegawai Daerah Ledang Ab Han Ramin turut berarak bersama umat Islam dalam sambutan itu.

Pada sambutan itu, Imam Besar Masjid Sultan Abu Bakar, Johor Bahru, Datuk Mahat Mohd Said, 80, dipilih penerima Anugerah Khas Maulidur Rasul berikutan sumbangannya dalam profesion imam selama 50 tahun sejak menjawat jawatan itu pada tahun 1965 hingga sekarang.

Mahat yang juga Timbalan Imam Besar Negeri Johor berterima kasih kerana ada pihak sudi memilihnya menerima anugerah khas itu.

Katanya, untuk menjadi imam, seseorang itu perlu ada ilmu yang tinggi kerana tugas itu bukan mudah dan tanggungjawabnya sangat besar.

“Selain ilmu sedia ada, kita perlu terus belajar dari semasa ke semasa dan membuat rujukan supaya tugas sebagai imam dapat dilaksanakan dengan lebih lancar dan sempurna.

“Seseorang itu perlu mempunyai bakat suara serta pandai ‘melagukan’ bacaan ayat suci al-Quran dengan taranum selain mahir dalam hukum bacaan seperti tajwid,” kata bapa kepada sembilan anak itu ketika ditemui selepas menerima anugerah berupa plak, sijil dan wang RM5,000.

Mahat berkata, sebelum dilantik imam, beliau bertugas sebagai bilal di Masjid Jamek Tangkak. Pada 1965, beliau ditugaskan sebagai imam di Masjid Jamek Muar atau dikenali Masjid Sultan Ibrahim sebelum dilantik sebagai Imam Besar Masjid Sultan Abu Bakar, Johor Bahru dari 1967 hingga kini, manakala sebagai Timbalan Imam Besar Negeri pada 2012.

Ditanya mengenai ciri yang perlu ada untuk menjadi imam, khususnya generasi muda, Mahat yang dilahirkan di Kampung Sungai Terap, Muar berkata setiap imam muda perlu menjaga maruah dan jawatannya dengan menunaikan kewajipan diberi.

Anugerah disampaikan Yang Dipertua Jumaah Majlis Diraja Johor Datuk Abdul Rahim Ramli selaku wakil rasmi kepada Sultan Johor Sultan Ibrahim Sultan Iskandar yang turut melancarkan CD Mutiara Berzanji iaitu Bacaan Barzanji Bahasa Melayu yang dikeluarkan Bahagian Pengurusan Masjid dan Surau, Jabatan Agama Islam Johor (JAIJ).

Hadir sama, Speaker Dewan Undangan Negeri Johor Tan Sri Mohamad Aziz selaku wakil rasmi Menteri Besar Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin.

Kadi Daerah Ledang, Mohd Zaini Mohd Salleh menyampaikan ceramah Maulidur Rasul kepada lebih 2,000 hadirin di Masjid Jamek Tangkak sempena sambutan itu.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 8 January 2016 @ 5:00 AM