HASNI (tiga, kiri) bersama Tosrin Jarvanthi (empat, kiri) mendengar bacaan al-Quran yang disampaikan oleh qari Ahmad Hazim (dua, kanan) dan qariah Khairunnafizah Imani pada Majlis Sambutan Maulidur Rasul Peringkat Negeri Johor Tahun 1442H/2020M di Masjid Sultan Abu Bakar. FOTO BERNAMA
HASNI (tiga, kiri) bersama Tosrin Jarvanthi (empat, kiri) mendengar bacaan al-Quran yang disampaikan oleh qari Ahmad Hazim (dua, kanan) dan qariah Khairunnafizah Imani pada Majlis Sambutan Maulidur Rasul Peringkat Negeri Johor Tahun 1442H/2020M di Masjid Sultan Abu Bakar. FOTO BERNAMA
BERNAMA

Kuala Lumpur: Umat Islam hari ini menzahirkan rasa cinta dan kasih kepada Nabi Muhammad SAW menerusi pelbagai program yang diadakan dalam situasi norma baharu, sempena sambutan Maulidur Rasul 1442H/2020M.

Berbeza dengan sambutan sebelum ini yang menyaksikan perarakan ribuan umat Islam diadakan di seluruh negara, namun tahun ini, sambutan tertumpu kepada penganjuran program secara maya dan jika diadakan di masjid, pematuhan prosedur operasi standard (SOP) akan diutamakan.

Bagi memperingati detik bersejarah kelahiran Nabi Muhammad SAW, Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) mengambil inisiatif mengadakan program 'Semarak Cinta Rasul' yang disiarkan secara langsung di TV1 dan Facebook Jakim, bermula semalam sehingga hari ini.

Antara pengisian program hari ini termasuk rancangan Musical talkshow 'Kasih Junjungan' yang bersiaran pada 10.30 pagi tadi dan Forum Perdana Ehwal Islam khas sempena Sambutan Maulidur Rasul yang dijadualkan pada 9 malam ini.

Semalam, beberapa acara turut diadakan seperti bacaan Al-Quran, tayangan video khas Ibrah (pengajaran) bertajuk 'Muhammad' dan tausiyah (dakwah) oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Datuk Seri Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri.

Di Johor, sambutan Maulidur Rasul peringkat negeri diadakan di Masjid Sultan Abu Bakar, Johor Bahru, dengan dihadiri kira-kira 500 tetamu termasuk Menteri Besar Johor Datuk Ir Hasni Mohammad, Setiausaha Kerajaan Negeri Johor Datuk Azmi Rohani serta Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Agama Islam Johor Tosrin Jarvanthi.

Majlis yang bermula pada 7.30 pagi itu sarat dengan pengisian bacaan selawat dan doa, bacaan al-Quran, berzanji serta syarahan oleh Ketua Penolong Pengarah Bahagian Pengurusan Masjid dan Surau, Jabatan Agama Islam Negeri Johor Mohd Taufik Shamsudin.

Tosrin dalam ucapan beliau pada majlis itu berkata, walaupun sambutan kali ini perlu dilakukan dalam norma baharu, ia tidak menghalang pihak pentadbiran Islam negeri ini menyebar kefahaman dan pengajaran agama Islam, sekali gus meraikan hari keputeraan baginda Nabi Muhammad SAW.

Di Melaka, Ketua Menteri Datuk Seri Sulaiman Md Ali hadir ke Pelancaran Ziarah Prihatin sempena sambutan Maulidur Rasul 1442H di Pusat Islam, Majlis Agama Islam Melaka (MAIM) Bukit Palah.

Sulaiman turut menyempurnakan pelepasan Konvoi Ziarah Prihatin yang akan menyampaikan sumbangan barangan keperluan kepada 213 asnaf di negeri itu.

SULAIMAN (tengah) menyempurnakan majlis pelepasan program Ziarah Prihatin Sempena Sambutan Maulidur Rasul 1442H di Pusat Islam, Majlis Agama Islam Melaka (MAIM), Bukit Palah. FOTO BERNAMA
SULAIMAN (tengah) menyempurnakan majlis pelepasan program Ziarah Prihatin Sempena Sambutan Maulidur Rasul 1442H di Pusat Islam, Majlis Agama Islam Melaka (MAIM), Bukit Palah. FOTO BERNAMA

Sulaiman berkata, walaupun tiada perarakan seperti tahun sebelumnya namun program diatur bagi menzahirkan rasa kasih, sanjungan dan mengingati perjuangan serta pengorbanan Nabi Muhammad SAW sempena kelahiran baginda.

Selain itu, beberapa pemimpin negeri turut menyampaikan perutusan mereka sempena sambutan Maulidur Rasul.

Ketua Menteri Sabah Datuk Hajiji Noor dalam perutusannya mengajak rakyat di negeri itu untuk menghayati dan mencontohi ajaran Rasulullah dalam mendepani ujian pandemik Covid-19 yang sedang melanda negara dan negeri itu.

Hajiji berkata, meskipun sambutan Maulidur Rasul tidak dapat diadakan seperti mana tahun sebelum ini, namun semangat serta matlamatnya masih boleh diterjemahkan dalam kehidupan dengan mengajak sesama rakyat menghayati dan mencontohi setiap ajaran disampaikan oleh Nabi Muhammad SAW.

Menteri Besar Negeri Sembilan Datuk Seri Aminuddin Harun pula dalam kenyataan berkata, dalam suasana masyarakat di negara ini sedang berhadapan dengan pandemik Covid-19, semangat keprihatinan terhadap sesama saudara adalah perkara yang amat dituntut.

Beliau berkata, ujian sedemikian seharusnya menjadikan semangat persaudaraan dalam kalangan masyarakat lebih utuh dan berteraskan kasih sayang.

"Semoga dengan menghayati semangat Maulidur Rasul 1442H, kita semua terus menyubur rasa kasih sayang dan cinta kepada Rasulullah SAW," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 29 Oktober 2020 @ 2:43 PM