Oleh Saiful Afendy Sapran

Kuala Lumpur: Bekas pemain perseorangan badminton negara Ismail Saman berpendapat sudah tiba masanya untuk Iskandar Zulkarnain Zainuddin (gambar) diberi peluang beraksi pada saingan Piala Thomas.

Ismail yang pernah merasai sendiri pengalaman beraksi dalam saingan berpasukan itu pada 1996 dan 2000 berkata, pencapaian cemerlang Iskandar sepanjang tahun lalu sepatutnya membolehkan peluang itu diberikan kepadanya.

“Saya rasa wajar Iskandar diberi peluang kali ini. Dia sudah mencapai tahap permainan yang menepati standard.

“Cuma ada beberapa kelemahan perlu diatasi seperti masalah kecergasan serta pergerakan yang lambat ketika beraksi di gelanggang.

“Selebihnya saya rasa Iskandar sudah mampu memikul tanggungjawab dalam acara berpasukan,” katanya ketika ditemui semalam.

Ismail berkata, sepanjang menjadi jurulatih pemain itu pada saingan Purple League bersama kelab Petaling BC, beliau dapat melihat sendiri perkembangan positif ditunjukkan pemain berusia 24 tahun itu.

Malah Ismail juga percaya Iskandar mampu memperbaiki rankingnya dalam kelompok 30 terbaik dunia tahun ini seperti dimahukan Pengarah Teknikal Persatuan Badminton Malaysia (BAM) Morten Frost Hansen.

“Walaupun ketika ini dia berada di ranking ke-51 dunia, bagi saya tahap permainannya sudah menyamai standard pemain yang menduduki ranking sekitar 30 terbaik dunia.

“Sebab itu saya yakin dia mampu memperbaiki rankingnya tahun ini,” katanya.

Frost menerusi laporan Arena Metro semalam berharap Iskandar dapat memperbaiki rankingnya tahun ini selain tidak menolak menyenaraikan pemain berkenaan dalam pasukan Piala Thomas.

Pemilihan pemain akan dilakukan bulan ini untuk mewakili Malaysia menghadapi Kejohanan Berpasukan Asia di Hyderabad, India bulan depan yang turut menjadi tiket kelayakan ke Piala Thomas/Uber di Kunshan, China pada Mei.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 7 January 2016 @ 7:23 AM