NAJIB beramah mesra dengan murid ketika lawatan ke SJKT Dengkil .Turut bersama Subramaniam dan Kamalanathan. FOTO Ahmad Irham Mohd Noor
NAJIB beramah mesra dengan murid ketika lawatan ke SJKT Dengkil .Turut bersama Subramaniam dan Kamalanathan. FOTO Ahmad Irham Mohd Noor
Oleh Hayati Ibrahim


Dengkil: Enam sekolah di Sarawak akan dibaikpulih menggunakan Sistem Bangunan Berindustri (IBS), kata Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak.

Sekolah berkenaan ialah Sekolah Kebangsaan (SK) Pulau Seduku; Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Sebuyau; SK Nanga Pua Selangau; SK Kalok Pusa, Betong; SK Abang Man Simunjan dan SK Kampung Tanam Mukah.

Beliau berkata, penggunaan sistem itu lebih menjimatkan dan bangunan sekolah dapat disiapkan dalam masa lebih singkat.

"Kejayaan penggunaan IBS untuk membaikpulih Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil (SJKT) Dengkil dijadikan perintis untuk memperluaskan sistem itu ke sekolah lain yang perlu dibaikpulih.

"Menerusi kejayaan ini, saya berharap ia dapat memperlihatkan kesungguhan kerajaan untuk menambahbaik prasarana sekolah," katanya pada sidang media selepas meninjau semulaSekolah Jenis Kebangsaan Tamil (SJKT) Dengkil di sini, hari ini.

Tinjauan itu susulan daripada lawatan beliau pada 29 Oktober lalu yang mengarahkan supaya penambahbaikan dilakukan terhadap beberapa kemudahan di sekolah itu yang tidak memuaskan.

Berikutan tinjauan sebelum ini, proses membaikpulih beberapa kemudahan seperti longkang, sistem pendawaian, makmal sains, membaiki pagar di sekeliling sekolah, membaiki kebocoran bumbung dan membaik pulih kantin serta pusat sumber dapat disiapkan dalam tempoh lima minggu.

Turut mengiringi tinjauan itu ialah Menteri Kesihatan merangkap Presiden MIC, Datuk Seri Dr S Subramaniam; Menteri Pendidikan, Datuk Seri Mahdzir Khalid; Timbalan Menteri Pendidikan I P Kamalanathan; Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Dr Ali Hamsa; Ketua Setiausaha Kementerian Pendidikan, Tan Sri Dr Madinah Mohamad dan guru besar SJKT Dengkil, M Tamilsekaran.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 6 January 2016 @ 7:06 PM