Mohammad Trevor Mohammad Darby, 35, ketika dihadapkan di Mahkamah Sesyen Ipoh, hari ini. - Foto MUHAIZAN YAHYA
Mohammad Trevor Mohammad Darby, 35, ketika dihadapkan di Mahkamah Sesyen Ipoh, hari ini. - Foto MUHAIZAN YAHYA
Mohd Hafizee Mohd Arop


BEKAS kontraktor didakwa di Mahkamah Sesyen Ipoh hari ini, bagi pertuduhan mengemukakan tuntutan palsu RM246,500 membabitkan kerja-kerja menaik taraf sistem audio visual pameran di Muzium Taiping, Perak, pada 2013.

Tertuduh, Mohammad Trevor Mohammad Darby, 35, bagaimanapun mengaku tidak bersalah dan minta dibicarakan selepas pertuduhan dibacakan jurubahasa di hadapan Hakim S Indra Nehru.

Dia yang juga pemilik Syarikat Ultra Integrated didakwa dengan niat memperdaya kurator muzium, Nor Hanisah Ahmad menerusi satu dokumen iaitu pesanan kerajaan berserta invois berjumlah RM246,500 membabitkan kerja-kerja menaik taraf sistem audio visual pameran di Muzium Taiping, Perak.

Bagaimanapun, tertuduh memberikan butiran palsu dengan memperakui pembekalan sepenuhnya dibuat dalam keadaan memuaskan dan mengikut penentuan sedangkan kerja tidak disiapkan.

Dia didakwa melakukan kesalahan itu di Pejabat Muzium Perak, Taiping, pada 24 Disember 2013.

Mohammad Trevor didakwa mengikut Seksyen 18, Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 dan boleh dihukum mengikut Seksyen 24 (2) akta sama yang jika sabit kesalahan boleh dihukum penjara maksimum 20 tahun dan denda tidak lebih lima kali ganda jumlah suapan atau RM10,000, mana lebih tinggi.

Indra membenarkan ikat jamin RM12,000 dengan seorang penjamin serta syarat tambahan menyerahkan pasport kepada mahkamah.

Kes akan disebut semula 27 Julai ini.

Pendakwaan dijalankan Timbalan Pendakwaraya Nurul Wahida Jalaluddin manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 12 Julai 2017 @ 3:29 PM