SEORANG lelaki Syiah Iraq cuba membakar gambar Putera Mahkota Saudi, Mohamed bin Nayef ketika menunjuk perasaan di Baghdad, Iraq.
SEORANG lelaki Syiah Iraq cuba membakar gambar Putera Mahkota Saudi, Mohamed bin Nayef ketika menunjuk perasaan di Baghdad, Iraq.

Riyadh: Adik ulama Syiah, Sheikh Nimr al-Nimr yang dihukum bunuh di Arab Saudi, Sabtu lalu, mengutuk kecaman terhadap negara itu termasuk serangan ke atas kedutaan Saudi di Iran.

Mohammed al-Nimr berkata di Twitter: “Kami sayangkan negara ini (Arab Saudi). Kami menghargai perasaan sayang anda terhadap #Sheikh_AlNimr yang akan tetap ‘hidup’ dalam hati kita, tetapi kami menolak serangan terhadap kedutaan #Saudi sama ada di #Iran atau tempat lain.”

Penunjuk perasaan yang berang dengan pelaksanaan hukuman mati terhadap Nimr menyerang kedutaan Saudi di Teheran serta pejabat konsulat di Mashhad.

Nimr antara orang kuat di sebalik protes antikerajaan pada 2011 di Arab Saudi.

Mengikut satu lagi tweet adiknya itu, jenazah Nimr tidak diserahkan kepada keluarga untuk disempurnakan, sebaliknya pihak berkuasa memaklumkan bahawa dia sudah dikebumikan.

Mohammed menggesa supaya mayat abangnya itu diserahkan kepada keluarganya.

“Kami berharap pihak berkuasa akan memenuhi permintaan kami dengan menyerahkan jenazahnya kepada kami supaya ia dapat disemadikan di tempat kelahirannya di Awamiya,” katanya. - AFP

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 5 January 2016 @ 8:24 AM