MOHD Hasif memulakan sesi persekolahan baru. FOTO Shazreen Zamzuri
MOHD Hasif memulakan sesi persekolahan baru. FOTO Shazreen Zamzuri
Oleh Norashikin Leman


Shah Alam: Mohd Hasif Abdul Halim, 9, yang kehilangan keluarganya dalam tragedi lemas di Air Terjun Belukar Bukit, Kuala Berang, Terengganu, 19 Disember lalu, memulakan sesi persekolahannya di Sekolah Rendah Ibn Khaldun, Jalan Kebun,di sini, pagi tadi.

Kanak-kanak yang memasuki darjah tiga itu dihantar ibu saudaranya, Dr Siti Sabariah Damian, 38, pada 7.30 pagi tadi sebelum kanak-kanak berkenaan menyertai perhimpunan sekolah berkenaan.

Beliau yang ditemani Siti Sabariah bagaimanapun lebih banyak mendiamkan diri kerana baru ditukarkan ke sekolah berkenaan di mana sebelum ini beliau bersekolah di Sekolah Agama Hira', Klang

Dr Siti Sabariah berkata, Mohd Hasif sebelum ini bersekolah di Sekolah Agama Hira', Klang, tetapi dipindahkan ke sekolah berkenaan bagi membolehkan dia bersekolah bersama dua sepupunya.

"Saya memilih untuk menghantarnya ke sekolah ini bagi memudahkan keadaan Mohd Hasif dipantau kerana beliau masih dalam proses untuk melupakan tragedi berkenaan," katanya ketika ditemui.

Tragedi menyayat hati itu berlaku kira-kira jam 10 pagi itu mengorbankan, bapa dan ibu Mohd Hasif, Abdul Halim, 44, dan Nurul 'Adilah @ Salaiwati Awang, 39, serta tiga anak mereka Nurul Arifah, 16, Nurul Aina, 11, dan Nurul Izah, 10.

Bagaimanapun, Mohd Hasif terselamat kerana ketika kejadian kanak-kanak itu hanya bermain di tepi air terjun.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 4 January 2016 @ 2:39 PM