TEH melihat gambar arwah anak, menantu dan cucunya yang meninggal dunia dalam tragedi lemas di Air Terjun Belukar Bukit pada 19 Disember 2015 lalu. FOTO Ahmad Rabiul Zulkifli
TEH melihat gambar arwah anak, menantu dan cucunya yang meninggal dunia dalam tragedi lemas di Air Terjun Belukar Bukit pada 19 Disember 2015 lalu. FOTO Ahmad Rabiul Zulkifli
Ahmad Rabiul Zulkifli

Kuala Terengganu: "Perasaan ini memang rindu, hanya doa dan gambar arwah yang menjadi pengubat kepada kerinduan itu," kata Teh Jarah, 78, ketika ditemui di rumahnya, semalam.

Teh dari Kampung Serdang Baru, Bukit Tunggal, ibu kepada Nurul Adilah @ Salaiwati Awang, 39, yang meninggal dunia bersama suami, Mohd Halim Saiman, 44, serta tiga anaknya, Nurul Arifah, 16, Nurul Hidayah Aina, 11 dan Nurul Izzah, 10, dalam tragedi lemas di Air Terjun Belukar Bukit, Hulu Terengganu pada 19 Disember 2015.

Bagaimanapun, pasangan suami isteri itu meninggalkan anak lelaki bongsunya, Mohd Hasif, 8, yang kini berusia 14 tahun.

Katanya, dia tidak pernah berhenti mendoakan arwah anak ketiga daripada sembilan beradik itu sejak arwah meninggal dunia.

"Hanya doa sebagai penghubung utama antara saya dan arwah anak sekarang.

"Jika terlalu rindu, saya akan ke pusaranya yang tidak jauh dari rumah untuk berdoa dan membersihkan kubur.

"Tiga kali saya melawatnya di kubur sejak Ramadan dan biasanya dalam sebulan memang tidak sah jika tidak ke kubur anak," katanya.

Tambahnya, dia berasa sunyi sejak anaknya itu meninggal dan bernasib baik kerana anak-anak lain sentiasa menghiburkannya.

"Setiap kali Ramadan dan Syawal kerinduan saya terhadap arwah anak, menantu dan tiga cucu semakin bertambah.

"Sebelum ini, mereka akan pulang ke kampung untuk menjenguk dan berbuka puasa bersama, tetapi sekarang semua itu sudah menjadi kenangan.

"Saya masih ingat pada hari kejadian, arwah membawa saya keluar untuk membeli sarapan pagi, memang tiada langsung tanda-tanda pelik yang menunjukkan arwah akan meninggal dunia," katanya.

Menurutnya, dia sentiasa merindui arwah anaknya, menantu dan tiga cucunya itu.

"Setakat ini, memang tak pernah sekali terlupa untuk berdoa kepada arwah sebaik selesai solat. Arwah anak dan menantu sangat bertanggungjawab kepada saya dan adik beradiknya.

"Kehilangan arwah sangat dirasai sehingga sekarang dan sebuah kenderaan arwah anak diamanahkan kepada saya sebagai kenang-kenangan," katanya.

Dalam kejadian kira-kira jam 11 pagi Sabtu pada 19 Disember 2015, pemilik syarikat kejuruteraan, Mohd Halim, 44, dan isteri, Nurul Adilah, 39, bersama tiga anak perempuan mereka lemas ketika mandi di Air Terjun Belukar Bukit, Hulu Terengganu.

Bagaimanapun, Mohd Hasif yang berada di daratan terselamat daripada tragedi itu dan kini tinggal bersama ibu saudaranya, Dr Siti Sabariah Damian di Teluk Panglima Garang, Selangor.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 8 Mei 2021 @ 8:00 AM