Oleh Zaid Salim

Kuala Terengganu: Jenazah lima beranak yang lemas di kawasan air terjun Belukar Bukit, Hulu Terengganu, selamat dikebumikan dalam satu liang di Tanah Perkuburan Islam Kampung Pengkalan Arang, Pekan Batu Enam, di sini, kira-kira 1 pagi Ahad.

Pengkebumian dilakukan selepas selesai solat jenazah di masjid kampung itu sejurus ketibaan keluarga arwah Abdul Halim Samian dari Johor.

Samian Somo, 84, iaitu ayah arwah Abdul Halim dan ibunya, Siti Edah Ali, 75, serta adik-beradiknya kemudian mengiringi jenazah ke tanah perkuburan.

Teh Jarah, 72, iaitu ibu kepada arwah Nurul 'Adilah Awang, bersama anak bongsu mangsa, Mohd Hasif, 9, juga mengiringi jenazah.

Selain, Abdul Halim, 44, dan Nurul 'Adilah, 39, turut lemas dalam tragedi itu adalah tiga anak perempuan mereka, Nurul Arifah, 16; Nurul Aina, 11, dan Nurul Izah, 10.

Sebelum itu, kira-kira 200 penduduk kampung dan sanak saudara menyambut ketibaan lima van jenazah yang tiba di perkarangan masjid di Kampung Pengkalan Arang, 9.30 malam tadi, dari Hospital Hulu Terengganu.

Pengkebumian lima beranak itu selesai, pada 1.30 pagi.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 20 Disember 2015 @ 2:46 AM