Kereta saya akan bergerak sendiri ke sebelah kanan walaupun stereng menghala lurus ke hadapan.

Ada rakan yang mengatakan bahawa saya perlu membuat ‘alignment’ (penjajaran).

Kereta saya baru enam bulan dipakai dan ini kali pertama saya menghadapi masalah itu.

PANDU SENGET

Johor Bahru

Apa yang dikatakan sebagai ‘alignment’ itu adalah merujuk kepada penjajaran roda kereta anda.

Penjajaran roda adalah sebahagian daripada proses penyelenggaraan kereta standard dengan proses menyesuaikan sudut supaya dihalakan pada arah yang betul mengikut spesifikasi pembuat kereta.

Tujuan pelarasan itu adalah untuk menyusun atau menjajarkan hala tayar mengikut arah kereta.

Penjajaran roda yang betul akan memberi prestasi tayar terbaik dan mengurangkan kehausan.

Objektif utama penjajaran untuk memastikan pergerakan kenderaan adalah lurus tanpa menarik ke kiri atau kanan.

Kenderaan itu perlu dihantar bagi penjajaran semula di kedai tayar dengan menggunakan kamera yang dipasang pada unit pengapit roda hadapan direka khas.

Biasanya ada empat unit kamera dalam sistem penjajaran roda. Unit kamera itu akan berkomunikasi antara satu sama lain bagi memberi kedudukan fizikal masing-masing.

Semua maklumat itu disalurkan ke komputer yang akan memaparkan sudut roda anda.

Berdasarkan maklumat yang dikumpul, penjajaran roda dilakukan oleh mekanik mengikut spesifikasi pengeluar kenderaan.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 3 January 2016 @ 5:01 AM