Kereta saya mengalami gegaran ketara jika memandu melebihi 80 kilometer sejam (km/j). Ada yang memberitahu, skru pada roda kereta saya longgar tetapi apabila mengetatkannya, masalah itu masih berlaku.

AKMAL

Kamunting, Perak

Perlu dibezakan sama ada gegaran itu berpunca daripasa roda atau bahagian lain.

Gegaran pada putaran seminit (rpm) enjin tertentu tetapi hilang selepas memecut mungkin berpunca daripada roda dan boleh diatasi dengan melakukan imbangan.

Jika gegaran terasa pada rpm tertentu tanpa kereta bergerak dan menjadi semakin teruk jika menekan pedal minyak, berkemungkinan besar berpunca daripada enjin.

Sebenarnya skru yang longgar tidak menyebabkan gegaran melampau.

Pendakap enjin atau ‘moun­ting’ yang longgar mungkin perlu ditukar baru dan diikat dengan ketat.

Ini kerana pendakap enjin mempunyai pelapik getah yang mampu menyerap gegaran daripada disalurkan ke badan kereta.

Masalah gegaran ketara ketika enjin beroperasi pada rpm tinggi mungkin berpunca daripada bahagian atau komponen utama enjin yang longgar.

Gegaran juga akan lebih terasa jika berlaku kerosakan pada komponen seperti omboh dan gegalas utama pada aci engkol (crankshaft). Ia juga mungkin berlaku jika pemberat pada aci engkol tidak sejajar antara satu sama lain.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 22 Februari 2015 @ 5:03 AM