ANGGOTA Bomba dan Penyelamat mengangkat warga emas Juwari Ali, 88, yang mengidap penyakit angin ahmar untuk berpindah ke Pusat Pemindahan Bencana di Dewan Sivik Sri Putih Kampung Tok Lawit. FOTO Bernama
ANGGOTA Bomba dan Penyelamat mengangkat warga emas Juwari Ali, 88, yang mengidap penyakit angin ahmar untuk berpindah ke Pusat Pemindahan Bencana di Dewan Sivik Sri Putih Kampung Tok Lawit. FOTO Bernama
Oleh Zaid Salim


Hulu Terengganu: Seramai 230 penduduk daripada 77 keluarga di kampung Tok lawit, di sini bersedia untuk berpindah berikutan air naik secara mendadak.

Dijangkakan lewat petang ini semua mereka akan melaporkan diri di Dewan Sivik Sri Puteh, Tok Lawit.

Sehubungan itu, Jabatan Bomba Dan Penyelamat (JBPM) negeri mengingatkan penduduk yang tinggal di kawasan berisiko banjir supaya mematuhi arahan berpindah dikeluarkan pihak berkuasa bagi mengelak sebarang kejadian tidak diingini berlaku.

Pengarahnya, Azlimin Mat Noor berkata, peringatan dikeluarkan berikutan keadaan banjir yang mula melanda beberapa daerah ini bermula tengah malam tadi.

"Kita menasihatkan penduduk terutama yang tinggal di kawasan rendah dan berhampiran sungai mematuhi arahan berpindah dikeluarkan pihak keselamatan kerana apabila arahan dikeluarkan bermakna kawasan berkenaan tidak selamat untuk diduduki," katanya pada sidang media ketika meninjau pusat pemindahan Dewan Sivik Kampung Tok Lawit, di sini, hari ini.

Beliau berkata, ibu bapa juga dinasihatkan supaya memantau pergerakan anak-anak dan melarang bermain air bagi mengelakkan kejadian tidak diingini.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 28 Disember 2015 @ 6:16 PM