IHSAN Bomba dan Penyelamat
IHSAN Bomba dan Penyelamat
Oleh Muhamaad Razis Ismail

Gua Musang: Pemandu lori patah kedua-dua kakinya selepas kenderaan yang dipandu bertembung dengan bas ekspres tanpa penumpang di Kilometer 18 Jalan Gua Musang-Merapoh, di sini, hari ini.

Dalam kejadian 4.20 petang itu, mangsa berusia 46 tahun tersepit di tempat duduk pemandu lebih setengah jam sebelum berjaya dikeluarkan anggota Bomba dan Penyelamat.

Mangsa kemudian dibawa ke Hospital Gua Musang untuk rawatan lanjut dan dilaporkan stabil.

Pemandu bas tidak cedera.

Kejadian dipercayai berlaku selepas bas dari arah Kuala Lumpur ke Kota Bharu itu dikatakan hilang kawalan sebelum bertembung dengan lori dari arah bertentangan.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Gua Musang, Anuar Abas, ketika dihubungi berkata pihaknya menerima panggilan pada 4.55 petang.

Katanya, lima anggota bersama dua jentera dikejarkan ke lokasi kejadian.

"Setibanya di lokasi kejadian, seorang pemandu lori tersepit di tempat duduk pemandu. Kita mengambil hampir tiga minit untuk mengeluarkan mangsa yang tersepit sebelum dia dikejarkan ke hospital berhampiran untuk mendapatkan rawatan lanjut," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 27 Disember 2015 @ 9:36 PM