Anggota bomba berusaha mengeluarkan mangsa yang tersepit. FOTO Ihsan JBPM
Anggota bomba berusaha mengeluarkan mangsa yang tersepit. FOTO Ihsan JBPM
Adnan Ibrahim


Lelaki maut selepas kenderaan dipandunya memasuki laluan bertentangan sebelum bertembung dengan lori dalam kejadian di hadapan Kilang Clayton berhampiran Pekan Ayer Hitam, di Batu Pahat, jam 5 pagi tadi.

Ketua Operasi dari Balai Bomba dan Penyelamat Ayer Hitam, Pegawai Bomba Kanan II, Zakaria Mohamed berkata, pihaknya menerima laporan kejadian jam 5.07 pagi sebelum satu jentera dengan kekuatan enam anggota dikejarkan ke lokasi.

Katanya, sebaik tiba di lokasi kejadian, pihaknya mendapati kemalangan itu membabitkan kenderaan pelbagai guna (MPV) jenis Kia Carnival dan lori.

"Siasatan awal mendapati lori itu dari arah Ayer Hitam menghala ke Simpang Renggam manakala MPV berkenaan datang dari arah bertentangan.

"Akibat pertembungan kedua-dua kenderaan itu menyebabkan Lee Ming Keong, 39, tersepit di tempat duduk pemandu. Dia disahkan maut di tempat manakala pemandu lori berusia 54 tahun hanya mengalami kecederaan ringan.

"Kita mengambil masa 20 minit untuk mengeluarkan mayat sebelum diserahkan kepada polis untuk tindakan lanjut," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Menurut Zakaria, mayat mangsa dibawa ke Hospital Sultanah Nora Ismail (HSNI) di Batu Pahat untuk proses bedah siasat.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 16 January 2020 @ 10:06 AM