SEBAHAGIAN pendaki yang mendaki Gunung Semangkuk, semalam. FOTO ihsan bomba
SEBAHAGIAN pendaki yang mendaki Gunung Semangkuk, semalam. FOTO ihsan bomba
Oleh Shahrul Nizam Mohamad


Raub: Empat pendaki yang dilaporkan hilang ketika mendaki Gunung Semangkuk, dekat sini, malam tadi berjaya ditemui oleh Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM).

Tiga daripada pendaki terbabit ditemui jam 4.50 pagi tadi adalah Mohd Shariff Abd Haris, 30, Amiruddin Hamid, 35, dan Nur Nabila Baharuddin, 16.

Seorang lagi pendaki, Ahmad Saufian ditemui kira-kira jam 9 pagi tadi.

Ketua Zon 3 JBPM Pahang Penguasa Bomba Shahrulnizam Nasir berkata, seramai 36 anggota membabitkan tiga pasukan digerakkan ke lokasi kejadian bagi mencari pendaki terbabit.

"Seramai 22 pendaki membabitkan 12 lelaki dan 10 perempuan dilaporkan memulakan pendakian di gunung berkenaan pagi semalam," katanya ketika dihubungi, di sini.

Katanya, 12 pendaki keluar dari gunung petang semalam diikuti enam lagi kira-kira jam 1 pagi tadi manakala empat lagi sesat.

Menurutnya, tiga daripada empat pendaki ditemui jam 4.50 pagi dan mereka sudah dibawa ke base camp.

"Pendaki terakhir ditemui di Twin Peek dan akan dibawa ke Pine Tree yang mengambil masa 30 minit perjalanan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 27 Disember 2015 @ 11:33 AM