UNIT Udara JBPM membawa mangsa yang cedera ketika mendaki Gunung Tahan ke Hospital Gua Musang.  FOTO Ihsan JBPM
UNIT Udara JBPM membawa mangsa yang cedera ketika mendaki Gunung Tahan ke Hospital Gua Musang. FOTO Ihsan JBPM
Roselan Ab Malek


Lipis: Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) menyelamatkan seorang pendaki wanita yang mengalami kecederaan serius ketika mendaki Gunung Tahan, semalam.

Mangsa, Nur Kyariatul Syafinie Abdul Majid, 40 tahun dari Seri Kembangan, Selangor dibawa keluar menggunakan helikopter pada 2.30 petang, dan dihantar ke Hospital Gua Musang, Kelantan.

Wanita itu cedera di bahagian lutut dan buku lali sebelah kanan dan tidak boleh meneruskan perjalanan.

Ketua Polis Daerah Lipis, Superintendan Azli Mohd Noor berkata, wanita itu bersama lapan rakan iaitu lima lelaki dan empat wanita bersama seorang malim gunung mula mendaki Gunung Tahan melalui Sungai Relau, Merapoh pada 7 November.

Katanya, mereka dijangka tiba semula ke Kuala Juram pada 10 November.

Beliau berkata, bagaimanapun, polis menerima maklumat daripada Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) memaklumkan seorang pendaki cedera dan memerlukan bantuan untuk dibawa keluar dari kawasan Kem Kubang, Gunung Tahan, pada 5 petang, kelmarin.

"Kumpulan itu dalam perjalanan turun, dan pendaki wanita terbabit cedera pada pergelangan kaki dan lutut di Kem Botak pada ketinggian 1,943 meter.

"Kecederaan itu menyukarkannya bergerak dan jarak lokasi kejadian dengan pintu masuk Kuala Juram kira-kira 30 kilometer," katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata, pihak penyelamat cuba membawa keluar mangsa pada petang kelmarin, sejurus menerima panggilan kecemasan tetapi gagal disebabkan keadaan cuaca yang tidak mengizinkan.

Azli berkata, operasi menyelamatkan mangsa dilakukan anggota Bomba Lipis , Unit Udara JBPM, Perhilitan, Pegawai Bomba Sukarela ( PBS) Merapoh dan tiga Malim Gunung.

"Pendaki lain dalam kumpulan itu bermalam di satu 'check-point' dan akan turun hari ini.

"Diharap kumpulan pendaki lain berhati-hati melakukan aktiviti seperti ini dan sering mementingkan aspek keselamatan," katanya.

Sementara itu, Ketua Zon 3, Sharulnizam Nasir berkata, pesawat MI-17 (M994-01) digunakan untuk melakukan penerbangan Medevac bagi membawa wanita terbabit ke hospital.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 12 November 2021 @ 12:16 PM