SISWA perlu mengajar tiga subjek kepada pelajar yang tercicir dalam pelajaran.
SISWA perlu mengajar tiga subjek kepada pelajar yang tercicir dalam pelajaran.
MURID mendengar kata-kata semangat daripada ‘cikgu’.
MURID mendengar kata-kata semangat daripada ‘cikgu’.

Basyar Mustapha melihat sendiri siswa Universiti Malaya menjadi ‘cikgu’ dalam projek amal.

Walaupun sibuk membahagikan masa antara pengajian di dewan kuliah, kehidupan kampus dan peribadi, ada mahasiswa yang masih sempat berbakti kepada masyarakat sekeliling mereka.

Bak kata pepatah, ‘di mana ada kemahuan di situ ada jalan’. Mungkin itulah yang dipegang oleh mahasiswa dari Kolej Kediaman Tuanku Bahiyah, Universiti Malaya (UM) yang komited membabitkan diri dalam program amal berkongsi ilmu dengan murid sekolah yang memerlukan bimbingan mereka.

Pelajar jurusan undang-undang, Mastika Nasrun, 22, antara 50 mahasiswa yang meluangkan waktu berharga mereka untuk menjadi tenaga pengajar kepada murid sekolah berusia sembilan hingga 14 tahun yang mengalami kesukaran dalam pelajaran.

Mastika dan rakan bergilir bertemu dengan kanak-kanak di Projek Perumahan Pakyat Pantai Ria (PPR), Bangsar, Kuala Lumpur dua kali setiap minggu dan mengajar subjek Bahasa Melayu, Bahasa Inggeris dan Matematik.

“Kehidupan sebagai pelajar memang agak sibuk terutama dengan aktiviti di kampus dan tugasan, namun kami juga sering mencari apakah aktiviti yang boleh dilakukan sebagai siswa untuk membantu masyarakat.

“Melalui kenalan daripada badan amal Projek Iqra’ , Kolej Kediaman Tuanku Bahiyah tekad menubuhkan Projek Yusuff yang menyasarkan golongan kanak-kanak ini kerana ia selari dengan wawasan badan itu dan ia dekat dengan hati kami sebagai anak muda,” kata mahasiswa tahun ketiga itu yang juga pengarah program berkenaan.

Mahasiswa yang digelar ‘cikgu’ oleh anak murid mereka ini juga melakukannya secara sukarela dan tidak menerima bayaran malah semua 41 murid PPR juga tidak dikenakan sebarang caj dalam Projek Yusuff.

“Adik-adik dalam program mempunyai kelemahan masing-masing dan kami selidik apakah tahap modul I-Sina yang sesuai dengan mereka.

“Ada yang sudah di tingkatan satu, namun masih tidak boleh membaca dan ada yang lemah dalam subjek Matematik. Berdasarkan projek pertama tahun lalu, selepas tamat program selama tiga bulan ada yang sudah lancar membaca dan mahir mengira malah mereka akan diberikan ganjaran sebagai pemangkin semangat.

“Kami mementingkan pembelajaran asas kerana percaya tanpa yang asas, sukar bagi mereka untuk mengejar pembelajaran di sekolah,” katanya.

Suhairi Zakaria, 24, komited mengajar ‘adik-adik’ dalam Projek Yusuff.

“Walaupun kami siswa daripada jurusan berbeza di UM, kami perlu mengajar ketiga-tiga subjek kepada adik-adik ini.

“Memang agak sukar pada mulanya, namun semakin kami mengenali mereka, semakin mudah untuk mengajar dan memahami masalah pelajaran mereka.

“Sebagai siswa walaupun tidak dianugerahkan wang , kami melihat ia sebagai peluang untuk berbakti kepada masyarakat dan membentuk nilai insaniah dalam diri kami,” kata pelajar jurusan kejuruteraan itu.

Pensyarah Kanan Fakulti Kejuruteraan dan felo penasihat kolej kediaman dan Projek Yusuff Khairunnisa Hasikin, berkata mahasiswa terbabit sememangnya bersemangat dalam program ini.

“Mereka terdiri daripada pelbagai kaum dan daripada fakulti berbeza, namun berganding bahu untuk membantu kanak-kanak di PPR ini.

“Ramai pelajar yang mahu menjadi tutor dan kami terpaksa menjalankan temu duga dalam memilih kesesuaian. Projek ini diharap dapat membentuk sahsiah mahasiswa sebagai bakal modal insan yang berwibawa kelak,” katanya.

Mastika yang menunjukkan semangat tinggi dalam menjalankan program amal ini, berkata setakat ini Projek Yusuff mendapat bantuan daripada individu serta organisasi kecil dalam memberi sumbangan dan Yayasan Wilayah Persekutuan menyediakan bilik khas di Blok C PPR Pantai Ria secara percuma.

“Kami ingin menyasarkan lebih banyak bantuan kepada lebih ramai murid yang dalam program ini dan menggalakkan sebarang sumbangan daripada mana-mana pihak untuk sama-sama membantu kanak-kanak yang berhak mendapat perhatian daripada kita semua,” kata Mastika.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 22 Disember 2015 @ 12:22 PM