KERJA mengecat turut dilakukan Hanis Haziqah.
KERJA mengecat turut dilakukan Hanis Haziqah.
MELAKUKAN kerja pembersihan di kubur.
MELAKUKAN kerja pembersihan di kubur.
HANIS Haziqah bersama peserta sukarelawan ketika misi ke Vietnam.
HANIS Haziqah bersama peserta sukarelawan ketika misi ke Vietnam.
MEMBERSIHKAN kawasan Zoo Negara.
MEMBERSIHKAN kawasan Zoo Negara.
Fazurawati Che Lah


Kesukarelawanan adalah bidang yang semakin mendapat perhatian dalam meningkatkan keupayaan sesebuah komuniti.

Ia aktiviti yang mampu memberi nilai kepada pembangunan insan terutama belia. Dalam konteks pendidikan, didapati semakin ramai siswa pada era ini yang menyedari kepentingan untuk berkhidmat secara sukarela dalam kehidupan seharian.

Ini kerana terdapat banyak manfaat dan faedah yang dapat diperoleh dengan menjadi sukarelawan tanpa mengharapkan ganjaran.

Apabila seseorang penuntut terbabit dengan aktiviti sukarela dengan sendirinya melahirkan rasa simpati dan sifat tolong-menolong sesama manusia.

Nilai murni seperti inilah yang perlu ada dalam diri setiap penuntut supaya mereka bukan saja cemerlang dalam akademik malah memiliki modal insan terbaik.

Seiring usaha melahirkan lebih ramai sukarelawan dalam kalangan siswa, Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) mewujudkan Gap Year dan Yayasan Sukarelawan Siswa (YSS), antara agenda dalam usaha membentuk pendidikan tinggi negara.

Jelaslah transformasi minda kesukarelawanan dipandang serius oleh pihak KPT.

Mengulas lebih lanjut aktiviti kesukarelawanan dalam kalangan siswa, Penolong Naib Canselor (Perancangan Strategik dan Perhubungan Korporat, Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) Prof Madya Dr Afandi Ahmad berkata, di institut pengajian tinggi terdapat pelbagai persatuan mahasiswa dan kolej kediaman memberi pilihan kepada siswa untuk menceburinya sama ada sebagai ahli biasa atau barisan pemimpin.

Malah katanya, siswa turut berpeluang menjadikan medium itu sebagai langkah permulaan untuk melakukan transformasi minda kesukarelawanan.

“Belajar untuk menolong pihak lain. Pelbagai aktiviti yang berteraskan kebajikan dan kemasyarakatan pasti boleh mereka lakukan.

“Kewujudan pelbagai badan beruniform di institut pengajian tinggi seperti Pasukan Latihan Pegawai Simpanan (PALAPES), Kor-Sukarelawan Polis Siswa Siswi (SUKSIS), Briged RELA Siswa Siswi (RELASIS), Kor Siswa Siswi Pertahanan Awam (SISPA) dan Sukarelawan Siswa Siswi Koreksional (SISKOR) menjelaskan tiada lagi alasan untuk mengatakan tidak kepada agenda transformasi minda kesukarelawanan di universiti,” katanya.

Bagaimanapun, beliau menegaskan, nilai kesukarelawanan di kampus tetap perlu diperhalusi dan ditambah nilai.

Bermula dengan institusi keluarga dan sistem sosial, ahli politik, pemutus dasar dan ahli akademik mesti seiring menyelami risiko bakal dihadapi jika nilai kesukarelawanan ini semakin menipis serta terhakis.

“Kita bimbang minda kesukarelawanan mahasiswa dan sikap endah semakin menjauh.

“Buktinya, ada yang hanya membiarkan tong sampah terburai isinya kerana memikirkan itu adalah kerja si tukang sapu,” katanya.

Katanya, institut pengajian tinggi juga tidak terkecuali menerima tempias ledakan teknologi yang semakin menghakis nilai kemanusiaan dan keilmuan menyebabkan wujudnya sindrom 4K (Kuliah, Katil, Kafeteria dan Komputer).

“Walaupun tiada sebarang indeks empirikal yang mengukurnya, inilah ancaman merencatkan nilai kesukarelawanan.

“Ada mahasiswa yang tidak mahu ambil tahu perkara lain kerana bagi mereka ‘kiblat’ hanya kuliah. Tidak salah, tapi menjadi cacat jika tidak ambil tahu apa yang berlaku di sekeliling bukan sekadar berjaya dalam pelajaran.

“Bagi yang mementingkan diri sendiri, rehat adalah keutamaan dalam diri mereka. Hidup bermasyarakat itu tiada dalam kamus diari mereka. Katil itulah yang menjadi sahabatnya,” katanya.

Katanya, bagaimana nilai ilmu dan kesukarelawanan mahu disuburkan jika hanya sekumpulan mahasiswa yang sama menjadi pimpinan persatuan A, B dan C?

“Merekalah pengarah program, merekalah pesertanya. Siswa yang hadir ke surau atau masjid, siswa itu juga yang aktif di gelanggang sukan dan mereka juga bergegas menganjurkan program sukarela membantu gelandangan.

“Di mana yang lain? Hanya menjadi hamba 4K!,” katanya.

Sementara itu, peluang mengikuti Misi Sukarelawan Siswa YSS-ASEAN Green Summer Volunteer Campaign (GSVC) Vietnam 2017 antara pengalaman berharga Hanis Haziqah Mohd Zaid, 22, sepanjang membabitkan diri sebagai sukarelawan sejak dua tahun lalu.

Penuntut Sarjana Muda Kejuruteraan Telekomunikasi Universiti Malaya (UM) itu berkata, dia berada di Vietnam selama sebulan menjalankan aktiviti itu di sebuah perkampungan untuk membaik pulih keadaan rumah dan persekitaran kawasan itu.

“Banyak perkara yang saya pelajari sepanjang berada di sana, antaranya mengasah bakat menjadi pemimpin dengan lebih baik dan merasai kehidupan di pedalaman.

“Tahap keyakinan diri saya juga meningkat mendadak apabila kami terdedah kepada pembuatan pertimbangan dan keputusan secara kerap yang setiap daripada kami akan bekerjasama secara aktif dalam usaha menyiapkan setiap projek yang dirancang,” katanya.

Sejak bergelar siswa, dia semakin berani membabitkan diri dengan aktiviti kesukarelawan sama ada di bawah kelolaan kampus atau kolej dan badan bukan kerajaan (NGO).

“Saya puas dan gembira dapat melaksanakan kerja sukarela ini walaupun hanya menyumbang tenaga kepada mereka yang memerlukan.

“Aktiviti sukarelawan ini juga pengubat kepada tekanan selepas kita penat bertungkus-lumus dengan pengajian di kampus, malah meningkatkan kemahiran interaksi dengan masyarakat sekeliling,” katanya.

Selain mengikuti misi ke Vietnam, Hanis Haziqah turut mengikuti Misi Sukarelawan Siswa YSS-ASEAN ke Tawau, Sabah 2016, menganjurkan kelas tambahan percuma kepada kanak-kanak di Projek Perumahan Rakyat (PPR) Pantai Ria dan Program Kaseh 4U iaitu memberi makanan percuma kepada gelandangan.

Sementara itu, bagi penuntut tahun dua Sarjana Muda Ekologi dan Biodiversiti Nur Ain Mohd Arifin, 21, pula setiap kali melakukan kerja sukarela memberi pengalaman baru kepadanya sekali gus mematangkan diri untuk lebih bersyukur.

Katanya, kesukarelawanan adalah bentuk aktiviti yang menyentuh nilai kemanusiaan dan kasih sayang sesama insan.

“Saya berasakan kesukarelawanan sentiasa menjadi platform terbaik dalam usaha untuk berkongsi ilmu, pengalaman dan rezeki dengan orang lain,” katanya.

Katanya, walaupun aktif dengan aktiviti sukarelawan, dia masih mengutamakan pelajaran dan perlu membahagikan masa sebaik mungkin bagi memastikan kedua-dua tanggungjawab itu dapat dilaksanakan dengan baik.

“Memang bukan mudah untuk berjaya dalam kedua-dua bidang tapi dengan pengurusan masa yang sistematik segalanya dapat dilakukan sebaik mungkin,” katanya.

Katanya, sejak mengikuti pengajian di UM, lebih 20 aktiviti berbentuk sukarela disertainya dan dia juga berhasrat mengikuti misi kemanusiaan ke luar negara.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 15 January 2018 @ 3:06 PM