TUNKU Imran (belakang empat dari kiri) bersama sebahagian peserta ketika pelancaran Kejohanan Taekwondo Junior Nestle Koko Krunch 2015 di Dewan Majlis Sukan Negara.
TUNKU Imran (belakang empat dari kiri) bersama sebahagian peserta ketika pelancaran Kejohanan Taekwondo Junior Nestle Koko Krunch 2015 di Dewan Majlis Sukan Negara.
Oleh Mohd Firdaus Hashim


Kuala Lumpur: Seramai 2,000 atlet taekwondo dari seluruh negara dijangka mempamerkan bakat masing-masing pada Kejohanan Taekwondo Junior Koko Krunch Ke-10 dari 28 Mac hingga 31 Mei ini.

Kejohanan membabitkan kanak-kanak berumur dari 7 hingga 12 tahun itu dibahagikan kepada empat lokasi pertandingan iaitu di Zon Selatan (Pagoh, Johor-28 Mac), Zon Utara (Kepala Batas, Pulau Pinang-18 April), Zon Timur (Kuantan, Pahang-2 Mei) sebelum berakhir di Zon Tengah (Stadium Juara Bukit Kiara, Kuala Lumpur-31 Mei).

Pengurus Perniagaan Negara, Bijiran Sarapan Nestle (Malaysia) Berhad Nirmala Thurai melahirkan rasa bangga untuk menyokong usaha negara melahirkan atlet berkelas dunia terutama di peringkat akar umbi.

“Ini penganjuran ke-10. Ramai juara daripada kejohanan ini melangkah lebih jauh, malah ada yang memenangi pingat dalam arena antarabangsa.

“Kami berharap lebih ramai lagi atlet berbakat dilahirkan bagi mengharumkan nama negara di peringkat dunia,” katanya ketika ditemui pada pelancaran Kejohanan Taekwondo Junior Nestle Koko Krunch Ke-10 di Dewan Komanwel, Majlis Sukan Negara (MSN), Bukit Jalil, semalam.

Dalam majlis pelancaran itu, Presiden Majlis Olimpik Malaysia (MOM) Tan Sri Tunku Imran Tuanku Ja'afar merasmikan kejohanan itu yang turut disaksikan Ketua Pengarah MSN Datuk Ahmad Shapawi Ismail serta Presiden Taekwondo Malaysia (WTF) Tengku Seri Temenggong Raja Tengku Baharuddin Sultan Mahmud.

Sebanyak 100 kelab taekwondo di Malaysia bakal menyertai kejohanan itu bagi merebut Piala Pusingan Tunku Imran dengan pusingan akhir bakal menemukan juara setiap zon berentap di Kuala Lumpur.

Kejohanan itu akan dibahagikan kepada dua peringkat kumpulan umur iaitu peserta dari umur 7 hingga 9 tahun dan 10 hingga 12 tahun.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 20 Mac 2015 @ 5:20 AM